Zarif Irfan mahu lebih menyinar bersama Pahang

KUALA LUMPUR: Bekas penjaga gol Felda United Zarif Irfan Hashimuddin mahu meletakkan karier di tahap lebih tinggi, apabila menerima tawaran untuk menyarung jersi Pahang pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Biarpun ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan lain, Zarif Irfan mengakui peluang beraksi bersama Pahang sesuatu yang dinantikan, kerana menganggap pasukan dari Pantai Timur itu mempunyai nama cukup besar, dalam sejarah bola sepak tanah air.

“Selepas pasukan Felda United memilih untuk tidak lagi beraksi (dalam Liga-M), saya ada berbincang dengan tiga pasukan lain sebelum menerima tawaran dari Pahang. Mereka beri keyakinan mempunyai perancangan jangka panjang untuk saya, kerana saya masih muda dan optimis terhadap kemampuan saya.

“Bagi saya, ini peluang tidak boleh dilepaskan kerana Pahang adalah satu nama begitu besar dalam liga dan saya rasa ini peluang terbaik buat diri saya, kembali menaikkan karier,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Zarif Irfan yang bermain dalam Piala FAM bersama Air-Asia Allstars pada 2015, memulakan kerjayanya selaku pemain amatur sebelum menukar haluan selaku pemain profesional, apabila bersama pasukan Selangor selama dua musim pada 2016 dan 2017.

Dia kemudian berhijrah ke PKNS selama dua musim dan bermain untuk Felda United pada musim 2020, namun banyak bersaing dengan Muhaimin Mohamad bagi merebut tempat selaku penjaga gol utama.

Bakal dicabar penjaga gol berpengalaman Helmi Eliza Elias, Zarif Irfan tekad akan memberikan segalanya dalam sesi latihan, bagi mendapat tempat selaku penjaga gol nombor satu skuad Tok Gajah.

– BERNAMA

ep2p-2