Sidang Dewan Rakyat dipendekkan hingga jam 2 petang mulai Isnin ini

Kuala Lumpur – Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk melakukan beberapa penyelarasan bagi urusan persidangan Dewan Rakyat sepanjang Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 bagi memastikan kelancaran persidangan susulan penularan wabak COVID-19 ketika ini.

Antara perubahan yang diputuskan ialah tempoh harian persidangan adalah dari 10 pagi hingga 2 petang hingga 15 Desember ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat Berikutan Penularan Wabak COVID-19 yang diadakan semalam, yang turut dihadiri 10 ketua Whip parti.

Azhar berkata mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ahli-ahli mesyuarat itu bersetuju dengan keputusan seperti perubahan waktu persidangan dan urusan mesyuarat mulai Isnin hingga 15 Dis ini.

“Dewan Rakyat akan bersidang bermula 10 pagi hingga 2 petang. Selain itu, sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari 10 pagi hingga 11 pagi,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan sendiri oleh beliau itu turut dihadiri Ketua-ketua Whip parti.

“Sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan pada hari Isnin dan Rabu ialah selama satu jam dari jam 10 pagi hingga 11 pagi.

“Pada hari Selasa dan Khamis, sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan ialah selama 55 minit dari jam 11 pagi. Hanya satu soalan tambahan dibenarkan dan soalan tambahan tersebut mestilah seringkas boleh.

“Waktu pertanyaan menteri-pertanyaan menteri (MQT) pula akan dilaksanakan setiap Selasa dan Khamis selama lima minit dari jam 10 pagi. Ahli-ahli Yang Berhormat berkenaan akan membacakan soalan beliau dan Yang Berhormat Menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama. Soalan akan disiarkan di portal Parlimen secepat mungkin,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pemasyhuran beliau itu dibaca oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

ep2p-2