Muhyiddin bakal ‘dirotan’ geng KWSP pada PRU15 nanti – Puad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa berkeras dan dilihat tidak takut kepada desakan mana-mana pemimpin tetapi beliau diingatkan risiko ‘dirotan’ oleh satu kelompok rakyat iaitu ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Peringatan ini dilontarkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang antara lain memberi amaran kepada Muhyiddin bahawa gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan menyaksikan pertembungan buku dengan ruas.

Puad memberitahu, kumpulan ini (KWSP) ada 7.6 juta ahli aktif sedangkan ahli UMNO cuma 3.5 juta sahaja.

“Tinggal tiga hari lagi Belanjawan 2021 akan diundi. Perdana Menteri nampak berkeras. Beliau tidak takut dengan sokongan bersyarat parti lawan apatah lagi UMNO.

“Beliau juga tidak takut pada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Dr Mahathir Mohamad,Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Itu semua kacang pada beliau. Bahkan Tengku Razaleigh Hamzah sudah putus tidak mahu bahas belanjawan. Itu bermakna Perikatan Nasional (PN) hilang satu undi,” catat Puad di Facebooknya.

Menurutnya, Muhyiddin dilihat seolah-olah tidak gentar dengan mana-mana kumpulan yang ‘menyerang’ Belanjawan 2021.

“Perdana Menteri tidak takut pada mana mana kumpulan. Tetapi beliau akan bertembung dengan “satu kumpulan” di PRU ke 15 nanti iaitu Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

“Kumpulan ini ada 7.6 juta ahli aktif. Ahli UMNO cuma 3.5 juta sahaja. Tunggulah di PRU nanti, kalau Perdana Menteri kekal tolak keluar ‘one off RM 10,000 dari Akaun 1 termasuk syarat ketat I-Sinar.

“Ini pertembungan “buku dengan ruas”. Jangan perlekehkan kuasa kumpulan KWSP ini. Kumpulan ini boleh merotan,” kata Puad.

ep2p-2