Realiti Buat Anwar dan UMNO

Beberapa hari lepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Yang Di Pertuan Agong dan menyembahkan bukti beliau mempunyai sokongan yang mencukupi untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan kenyataan Anwar, Istana Negara dan laporan media, jelas Anwar tidak membuktikan beliau mempunyai sokongan individu setiap Ahli Parlimen. Sebaliknya, beliau mempersembahan komitmen pemimpin-pemimpin parti politik mengenai jumlah Ahli Parlimen yang akan menyokongnya.

Dalam konteks ini tuntutan Anwar tidak cukup kuat, malah tidak ada merit langsung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana Perkara 43 (2) (a) menetapkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Fasal ini hanya terpakai ketika wujud kekosongan jawatan Perdana Menteri seperti mana ketika malam selepas keputusan Pilihan Raya Umum, atau ketika Tun Dr Mahathir meletak jawatan pada Februari lalu.

Muhyiddin masih kukuh

Bagaimanapun dalam kes Anwar sekarang, jawatan Perdana Menteri tidak kosong. Justeru sebelum pelantikan baharu dibuat, Tuanku mesti memastikan Perkara 43 (4) Perlembagaan dipenuh terlebih dahulu, iaitu “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.”

Dalam keadaan ini kedudukan Muhyiddin langsung tidak terjejas. Tuanku tidak mempunyai kuasa Perlembagaan untuk meminta Muhyiddin mengosongkan jawatan kerana belum dibuktikan beliau hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Semua pihak yang mahu menjatuhkan Muhyiddin perlu membuktikan majoriti Ahli Dewan Rakyat tidak  lagi menyokong beliau.

Risiko UMNO

Dalam kebimbangan rakyat akan berlaku PRU kerana tindakan Anwar Ibrahim, Biro Politik UMNO turut mengumumkan keputusan untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional sekiranya beberapa permintaan mereka tidak dipenuhi.

Kenyataan ini tanpa penerangan jelas kepada umum telah menyebabkan timbul persepsi ini adalah sebahagian gerakan rakus UMNO ketika Muhyiddin sedang diasak oleh Anwar.

Dalam keadaan biasa rakyat mungkin boleh menerima situasi ini sebagai sepak terajang politik.

Tindakan menggentinkan situasi politik negara ketika rakyat masih lagi trauma dengan peningkatan kes Covid-19 pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah memburukkan imej UMNO.

Walaupun keputusan ini agak popular dalam parti namun ia dicemuh dan di pandang sinis oleh rakyat biasa. UMNO sedang dilabel sebagai parti yang tidak lagi mementingkan rakyat dan tenggelam dalam kerakusan kuasa.

Tidak salah UMNO meninggalkan kerajaan jika ia membabitkan kepentingan rakyat atau parti. Namun naratif harus sampai dan mampu menarik sokongan rakyat.

Ini kerana kelangsungan politik UMNO bergantung kepada 15 juta pengundi yang hampir 65 peratus adalah non-partisan – yakni mereka mempunyai pendapat yang berubah-ubah.

UMNO perlu sedar kemarahan rakyat terhadap Anwar kini berubah kepada mereka kerana dilihat sebagai punca ketidakstabilan politik masa kini. UMNO dilihat secara langsung dan tidak langsung telah menyokong usaha Anwar menjatuhkan Perdana Menteri dan mungkin mengakibatkan PRU ketika rakyat bergelut dengan Covid-19.

Justeru apa sahaja permintaan dan perbincangan dalam Mesyuarat Majis Tertinggi (MT) parti tersebut Selasa ini, ia harus dalam keadaan menjaga maruah dan kestabilan politik.

UMNO tidak boleh berpatah balik sesuka hati. kegopohan Biro Politik mengumumkan tuntutan menyebabkan harus ada sesuatu dicapai dari krisis ini; atau UMNO akan dilihat parti ‘yang bercawat ekor’.

Kedua, UMNO seharusnya mencari jalan untuk tidak menjatuhkan kerajaan ini pada ketika pandemik Covid-19 masih membara.

Justeru tuntutan yang dibuat tidak boleh sesuatu yang tidak munasabah dan menambah kebencian rakyat kepada parti.

Apa pun keputusan MT UMNO nanti, sesuatu yang perlu mereka fahami ialah rakyat memerhati dan akan menghakimi mereka.

Dalam keadaan rakyat sedang sengsara dan susah, mereka menjadi lebih sinis dan nihilis. Jangan sampai menang sorak, kampung tergadai.

*Artikel ini pertama kali disiarkan oleh Sinar Ahad (18.10.2020)

ep2p-5small