Darurat Politik: Kabinet Berbelah Bagi?

CYBERJAYA – Mesyuarat Khas Kabinet semalam dikatakan tidak sepenuhnya menyokong cadangan ‘Darurat Covid-19’ yang dibentangkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Difahamkan beberapa anggota kabinet UMNO tidak bersetuju dengan cadangan tempoh darurat yang agak panjang iaitu selama 12 bulan dan mencadangkan tempoh lebih singkat antara 4-6 bulan.

Terdapat juga ahli kabinet berpendapat kerajaan patut membentangkan belanjawan 2021 dan membenarkan rakyat menilai sendiri. Menurut pandangan ini sebarang penolakan terhadap belanjawan yang disukai rakyat akan memberi masalah besar kepada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kabinet turut membincangkan isu darurat ini dengan keperluan PRK Batu Sapi yang wajib diadakan dalam tempoh 60 hari dan peningkatan kes Covid-19 yang menyukarkan diadakan PRU dalam masa terdekat.

Bagaimanapun kabinet akhirnya mencapai konsensus mempersembahkan beberapa cadangan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah
Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Seri Paduka Baginda dijangka memanggil Mesyuarat Khas Raja-Raja isnin ini bagi mendapat pandangan dan membuat keputusan bersama.-SuaraTV

ep2p-2