Ambil alih akaun media sosial Mahathir, sebelum banyak kerosakan dilakukan

Kuala Lumpur – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata kenyataan Tun Dr Mahathir semalam bukan mewakili pendirian rakyat di negara ini.

Menurut Najib masyarakat antarabangsa khususnya pemimpin dunia seharusnya bersikap lebih tenang dengan memahami kontek kenyataan tersebut secara meyeluruh.

“Masyarakat antarabangsa seharusnya bersikap lebih tenang, dengan membaca pernyataan @chedetofficial dalam konteks penuh.

“Saya pasti beliau tidak maksudkan apa yang dikatakannya dan jika beliau maksudkannya, ia adalah pendapat peribadinya, bukannya pendirian Malaysia,” ujar Najib sebentar tadi.

Semalam, Mahathir melalui laman blognya berkata masyarakat Islam mempunyai hak untuk membunuh orang Perancis kerana kekejaman yang pernah mereka lakukan.

Kenyataan tersebut kemudiannya dihapuskan oleh pihak Twitter kerana disifatkan sebagai terlalu sensitif dan mengagungkan keganasan.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison kemudiannya turut mengecam kenyataan Mahathir itu yang disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Tidak cukup dengan itu Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski pula berkata pihaknya sangat terganggu dengan kenyataan Mahathir itu.

Najib seterusnya menggesa ‘seseorang’ untuk menghalang Mahathir dari mengunakan media sosial untuk memberikan sebarang pandangan.

“Sementara itu, seseorang perlu mengambil alih semua akaun media sosialnya sebelum dia melakukan lebih banyak kerosakan,” ujar Najib lagi.

Media sebelum ini melaporkan seorang guru sekolah di Perancis, Samuel Paty dibunuh dengan kejam apabila kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki Rusia berketurunan Chechen pada 16 Oktober lalu.

Guru terbabit sebelum itu menunjukkan karikatur didakwa Nabi Muhammad SAW yang menyebabkan 12 orang dibunuh dalam serangan di pejabat Charlie Hebdo pada 2015.

Macron bagaimanapun mempertahankan tindakan guru berkenaan, sehingga menyebabkan protes besar-besaran di kebanyakan negara Islam.

ep2p-5small