Klopp Terkejut Liverpool Cemerlang Pada Awal Musim

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berkata pada Isnin bahawa beliau tergamam dengan mutu permainan yang dicipta pasukannya di awal musim mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Arsenal 3-1 di Anfield pada Isnin.

Gol dari Sadio Mane, Andy Robertson dan Diogo Jota menewaskan Arsenal, yang memenangi dua perlawanan pertama mereka sebelum perlawanan ini.

Ketika Manchester City, Chelsea, Manchester United, Tottenham dan Arsenal sudah tewas pada tiga minggu pertama musim, Liverpool mengumpul sembilan mata maksima untuk memberikan isyarat awal bahawa mereka masih pasukan yang perlu ditewaskan musim ini.

“Ia masih terlalu awal dan dengan prestasi seperti ini, ia sememangnya ‘wow’,” kata Klopp.

“Dari saat pertama sepak mula, ia adalah penguasaan menentang pasukan yang berprestasi tinggi. Kami terpaksa berhati-hati dengan serangan pantas.

“Corak permainan kami sememangnya luar biasa. Tentang perlawanan malam ini, tiada apa yang buruk untuk diperkatakan.”

Keputusan perlawanan bagaimanapun mungkin lebih sukar jika Mane tidak hanya dilayangkan kad kuning kerana menyiku Kieran Tierney seawal minit ketiga permainan.

Arsenal mengikuti pelan permainan yang memberikan dua kemenangan ke atas Liverpool dalam beberapa bulan yang lalu ketika mereka cuba mengawal penguasaan bola dari Liverpool.

Bagaimanapun, tidak seperti pertemuan terakhir liga pada akhir musim lepas apabila Liverpool sudah mengesahkan kejuaraan liga atau pada perlawanan Perisai Komuniti pada bulan Ogos, Liverpool kelihatan lebih cergas menguasai ruang.

Satu-satu masa di mana Arsenal berjaya menembusi pertahanan Liverpool ialah sebelum rehat apabila Robertson sedikit alpha membenarkan Ainsley Maitland-Niles melakukan umpanan ke arah Alexander Lacazette, yang melakukan rembatan kemas tetapi bola melantun dan melepasi penjaga gol Alisson Becker untuk gol pendahuluan.

Liverpool bangkit segera dan tiga minit kemudian, Mohamed Salah melepasi kawalan Tierney sebelum rembatannya ditepis penjaga gol Bernd Leno tetapi bola muntah ditolak Mane ke pintu gol yang terbuka luas.

Robertson menebus kesilapannya dengan mengumpan bola yang disempurnakan Alexander-Arnold.

Bagaimanapun, ketika Arsenal mudah hilang fokus sebelum ini, seperti apabila tewas 0-4 dan 1-5 di Anfield pada 2018 dan 2019, pengurusnya, Mikel Arteta menerapkan kepercayaan baharu ke dalam pasukan.

Arsenal lebih bersemangat selepas rehat dan mencipta beberapa peluang untuk mengikat kedudukan dengan rembatan Lacazette berjaya diselamatkan Alisson.

“Apabila anda datang ke Anfield, anda tidak akan mendapat 10 peluang. Apabila anda berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol, anda harus menjaringkan gol,” kata Arteta ketika Liverpool melanjutkan tempoh tanpa kalah di tempat sendiri kepada 61 perlawanan.

Klopp memasukkan Jota untuk penampilan sulung liga bersama Liverpool, 10 minit sebelum tamat permainan dan pemain antarabangsa Portugal itu menunjukkan dengan segera kenapa Liverpool membelanjakan 41 juta pound untuk mendapatkannya dari Wolves apabila melengkapkan jaringan. — AFP

ep2p-2