Airbus Memperlihatkan Tiga Pesawat Konsep Emisi Sifar Berkuasa Hidrogen – Amanz

Di fasa awal pandemik Covid-19, kualiti udara menunjukkan pemulihan kerana pelbagai industri terhenti. Antara industri yang menyumbang kepada pencemaran ialah penerbangan yang sehingga kini masih belum pulih sepenuhnya. Tetapi sudah dapat dilihat trend di kalangan syarikat penerbangan untuk menggunakan pesawat lebih kecil dan kurang menggunakan bahan api pasca Covid-19.

Usaha mengurangkan lagi impak industri penerbangan kepada alam sekitar masih diteruskan oleh Airbus. Pagi ini mereka memperlihatkan tiga pesawat konsep emisi sifar yang menggunakan bahan api hidrogen. Tiga pesawat ZEROE ini terdiri daripada rekaan pesawat biasa, pesawat turboprop dan sebuah lagi dari jenis sayap terbang.

Konsep pertama dengan enjin turbofan mempunyai kemampuan membawa sehingga 200 penumpang dengan jarak operasi sehingga 2000 batu nautika. Bahan api hidrogen akan disimpan di dalam tangki yang diletakkan pada buritan pesawat.

Konsep kedua dengan enjin turboprop pula mampu membawa sehingga 100 penumpang dengan jarak operasi maksimum 1000 batu nautika. Enjin sedia ada diubahsuai untuk menggunakan bahan api hidrogen.

Akhir sekali pesawat sayap terbang mampu membawa sehingga 200 penumpang. Lapan enjin diletakkan pada bahagian buritan sama seperti model pesawat MAVERIC yang diperlihatkan pada Februari lalu.

Ketiga-tiga pesawat dijangka akan boleh memulakan operasi seawal 2035. Pelbagai sistem perlu diuji bagi menggantikan penggunaan bahan api fosil yang digunakan sekarang.

Airbus mempunyai beberapa projek lain ke arah menghijaukan industri sebelum ini. Tiga tahun lalu pesawat elektrik sepenuhnya E-Fan X diperlihatkan dan mereka juga sedang membangunkan teksi terbang elektrik Vahana untuk kegunaan dalam bandar.

ep2p-5small