Wanita Warga Britain Dipenjara 42 Bulan Dan Didenda RM10,000

ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara 42 bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang wanita warga Britain kerana menyebabkan kematian suaminya tanpa niat membunuh di Langkawi pada Oktober 2018.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Arik Sanusi Yeop Johari menjatuhkan hukuman itu terhadap Samantha Ann Jones, 52, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 18 Okt 2018 dan jika gagal membayar denda, Samantha Ann boleh dipenjara 12 bulan.

Dalam penghakimannya, Arik Sanusi berkata hukuman itu dijatuhkan selepas mendengar dan mempertimbang fakta kes serta laporan kimia dan bedah siasat yang dikemukakan kepada mahkamah.

Samantha Ann didakwa menyebabkan kematian suaminya John William Jones di Lot 2296, Kampung Gelam, Mukim Kedawang, Langkawi antara 1 pagi hingga 3 pagi 18 Okt 2018 mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada asalnya, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh yang membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, pendakwaan kemudian menawarkan pertuduhan pilihan kepada tertuduh iaitu menyebabkan kematian tanpa niat.

Ketika meminta hukuman ringan, Samantha Ann yang diwakili peguam Sangeet Kaur Deo berkata dia sayangkan suaminya dan insiden itu berlaku secara tidak sengaja.

Sangeet Kaur berkata anak guamnya bertindak menikam mangsa dengan sebilah pisau semasa cuba mempertahankan diri selepas sering dipukul lelaki itu.

Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin pula meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam dan bukan individu memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

– BERNAMA

ep2p-5small