SPRM Siasat Dakwaan Pihak Berkuasa Lindungi Judi Haram

Cyberjaya – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan pihak berkuasa cuba lindungi premis perjudian haram di sekitar Sungai Buloh, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42 pada Sabtu memuatnaik tiga siaran langsung di Facebook mengenai kewujudan beberapa premis judi di sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh.

Melalui siaran tersebut, Mohd Asri atau lebih dikenali dengan Asri Janggut turut mendakwa wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia keturunan Aceh yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya akan memanggil Mohd Asri bagi membantu siasatan kerana mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan memberikan bantuan dari segi kaunseling serta perlindungan kepada Mohd Asri yang terdedah dengan ancaman daripada pihak tertentu.

“Apabila perkara sebegini didedahkan, pastinya ada ancaman kepada individu yang mendedahkan terutamanya membabitkan kegiatan jenayah seperti pusat judi.

“Ini bukannya masa untuk kita menuding jari kepada mana-mana pihak, namun kami berharap pihak berkuasa akan bertindak segera membuat siasatan supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan,” katanya. – SuaraTV

ep2p-5small