Panduan mohon Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 2020

Pelaksanaan skim pembiayaan ini dilakukan oleh TEKUN Nasional selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur terbahagi kepada dua iaitu TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan TEKUN Mobilepreneur 2.0.

TEKUN Mobilepreneur 1.0 ialah skim pembiayaan baik pulih motosikal dan modal pusingan dengan had pembiayaan adalah sehingga RM2,000.

TEKUN Mobilepreneur 2.0 pula ialah pembiayaan pembelian motosikal dan modal pusingan dengan had pembiayaan yang akan diberikan adalah sehingga RM10,000.

 Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 2020

Tempoh pembayaran balik pembiayaan yang ditetapkan bagi TEKUN Mobilepreneur 1.0 adalah 1 tahun dan 6 bulan penangguhan manakala bagi TEKUN Mobilepreneur 2.0 pula adalah sehingga 3 tahun.

Tempoh pelaksanaan skim pembiayaan ini adalah sehingga September 2020 atau peruntukan dana digunakan sepenuhnya.

Syarat Kelayakan TEKUN Mobilepreneur 2020

Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan 2.0 tertakluk kepada beberapa syarat kelayakan iaitu:

  • Pemohon merupakan warganegara Malaysia (Bumiputera atau India)
  • Berumur 18 hingga 60 tahun (tempoh pembiayaan tamat sehingga 65 tahun).
  • Pemohon bukan seorang yang muflis.
  • Pemohon perlu mempunyai lesen memandu B1 atau B2 yang sah.
  • Pemohon telah dilantik dengan sah daripada syarikat e-Hailing yang berdaftar.
  • Pemohon perlu mempunyai motosikal sendiri yang berdaftar dan sah–bagi permohonan baik pulih motosikal dan modal pusingan.
  • Mengemukakan dokumen asal sebut harga pembelian motosikal daripada pembekal yang sah–bagi permohonan membeli motosikal.
  • Pemohin terlibat secara langsung atau separuh masa dalam aktiviti perniagaan.
  • Pemohon perlu mematuhi garis panduan serta terma dan syarat-syarat yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pengangkutan.
  • Pemohon yang mendapat surat sokongan dan disyorkan oleh mana-mana syarikat e-Hailing adalah diberikan keutamaan.

Cara Membuat permohonan

Individu yang melepasi syarat kelayakan dan ingin memohon Skim Pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan 2.0 boleh mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web https://www.tekun.gov.my/ms/inisiatif-tekun-covid19/borang-permohonan-mobilepreneur/
  2. Muat turun borang-borang berikut:
    i) Borang JPP01 – Senarai Semak
    ii) Borang JPP 02 – Borang Permohonan Pembiayaan TEKUN
    iii) Borang JPP 11 – Borang Penama
    iv) JPP Borang 17 – Kebenaran Penzahiran Maklumat Kredit Individu
    v) JPP Borang 25 – Borang Permohonan Pembiayaan CBRM (Usahawan TEKUN Sedia Ada)
  3. Lengkapkan borang beserta dokumen yang diperlukan.
  4. Hantar borang yang lengkap diisi kepada [email protected] atau hantar sendiri ke Ibu Pejabat TEKUN Nasional.

Selain itu, pemohon juga boleh memohon menerusi online dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web https://mobilepreneur.tekun.gov.my/.
  2. Klik bahagian “Daftar Akaun Anda Sekarang.”
  3. Isikan maklumat yang diperlukan.
  4. Klik butang “Daftar Akaun.”
  5. Buka emel dan tekan link bahagian pengesahan pendaftaran.
  6. Masukkan alamat emel dan kata laluan yang didaftarkan.
  7. Isi maklumat permohonan yang diperlukan.

Dokumen Yang wajib

Borang permohonan mestilah disertakan dengan dokumen yang diperlukan iaitu:

  • Borang permohonan pembiayaan (JPP02/JPP25/JPP17).
  • Gambar pemohon berukuran passport.
  • Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan (jika berkaitan) iaitu muka hadapan dan belakang.
  • Salinan lesen memandu B1 atau B2 yang sah.
  • Sebut harga pembelian motosikal daripada pembekal yang sah–bagi permohonan membeli motosikal.
  • Salinan geran motosikal yang sah–bagi permohonan baik pulih motosikal dan modal pusingan.
  • Salinan cukai jalan motosikal yang sah–bagi permohonan baik pulih motosikal dan modal pusingan.
  • Gambar pemohon bersama motosikal (perlu nampak nombor pendaftaran motosikal)–bagi permohonan baik pulih motosikal dan modal pusingan.
  • Surat sokongan syarikat e-Hailing/bukti pendaftaran bersama syarikat e-Hailing.
  • Salinan buku bank simpanan/penyata bank pemohon (muka pertama dan transaksi terakhir).
  • Salinan salah satu bil utiliti (elektrik/air/telefon).
  • Peta lokasi rumah dari Pejabat Cawangan TEKUN yang berdekatan

Soalan-Soalan Lazim:

Berapa lamakah proses pembiayaan TEKUN Mobilepreneur?

Tempoh proses pembiayaan dilakukan dalam jangka masa 7 hari bekerja.

Berapakah yuran proses TEKUN Mobilepreneur akan dikenakan?

Yuran proses sebanyak RM30 akan dikenakan kepada para pemohon yang membuat permohonan.

Adakah Usahawan TEKUN sedia ada adalah layak untuk memohon TEKUN Mobilepreneur 2.0?

Usahawan TEKUN sedia ada adalah layak untuk memohon TEKUN Mobilepreneur 2.0 mengikut syarat seperti berikut:

-Usahawan sedia ada yang mempunyai rekod bayaran tunggakkan kurang daripada 6 bulan.
-Usahawan yang telah membuat penjadualan semula dan
tidak mempunyai rekod tunggakan.
-Had kelulusan pembiayaan yang dibenarkan tidak melebihi RM100,000. Penilaian berdasarkan jumlah baki pokok dan caj (kecuali pembiayaan Kontrak-i hanya mengambil kira baki pokok sahaja).
-Peserta yang telah mendapat pembiayaan TEKUN Mobilepreneur 1.0, layak membuat permohonan TEKUN Mobilepreneur 2.0 untuk tujuan membeli motosikal dengan syarat jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 melalui pembiayaan bertindih (overlapping loan).

Usahawan yang telah mendapat pembiayaan di bawah Program Covid Business Recovery – Micro (CBRM), adalah tidak layak membuat permohonan TEKUN Mobilepreneur 2.0.

Sebarang pertanyaan dan persoalan
Pemohon yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web TEKUN Nasional di https://www.tekun.gov.my.
Pemohon juga boleh hadir ke ibu pejabat TEKUN Nasional di alamat:

Menara TEKUN,
T5-01-01 Maju Link,
Jalan Lingkaran Tengah 2, Bandar Tasik Selatan,
57000 Kuala Lumpur

ep2p-2