Universiti Malaya tahan kerja pelaku kes gangguan seksual pelajar

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) telah menahan kerja petugasnya yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual terhadap pelajar universiti itu. Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim berkata pelaku telah dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib dan dikenakan hukuman berdasarkan Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun.

“Merujuk kepada laporan media mengenai kes gangguan seksual tersebut, UM ingin menegaskan bahawa tindakan berikut telah diambil berkaitan kes ini iaitu siasatan dibuat serta-merta setelah aduan diterima, pelaku ditahan kerja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya memandang serius aduan atau laporan kes gangguan seksual yang melibatkan pelajar dan staf selain telah membangunkan pelbagai inisiatif dan program bagi mencegah gangguan seksual di kampus.

“UM sentiasa komited untuk menambah baik inisiatif dan program pencegahan serta pengendalian kes gangguan seksual supaya ia dapat diurus dengan lebih berkesan,” katanya.

— BERNAMA

ep2p-5small