Kumpulan Penyelidik Dakwa Virus Covid-19 Boleh Tersebar Lebih Dari Jarak 2 Meter

GENEVA – Covid-19 boleh tersebar menerusi udara lebih daripada jarak dua meter (m), lapor sebuah kumpulan penyelidik antarabangsa, pada Isnin.

Kumpulan berkenaan disertai 239 saintis antarabangsa.

AFP melaporkan menurut kumpulan berkenaan berkata, apabila seseorang yang dijangkiti virus itu menghembuskan nafas, ia akan menyebabkan titisan air tersebar di udara.

Titisan air yang bersaiz kurang daripada lima mikrometer ini boleh terapung di udara selama beberapa jam dan tersebar melebihi jarak 10 m.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa menegaskan pihaknya akan meneliti dapatan berkenaan.

WHO berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam tempoh beberapa hari lagi.

Ia selepas mengumpulkan semua maklumat berhubung perkara itu dan akan memastikan sebarang panduan kesihatan dikeluarkan selari dengan bukti.

Ketua Teknikal WHO, Benedetta Allegranzi menerusi media secara virtual berkata, pihaknya mengakui ada ‘bukti baharu dalam hal ini’.

“Oleh itu, kami percaya bahawa kami harus terbuka terhadap bukti ini dan memahami implikasinya terhadap kaedah penularan dan juga mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil,” katanya.

Penjarakan sosial dua m menjadi kaedah pencegahan utama dalam menangani Covid-19 .

Setakat ini, pandemik itu sudah menyebabkan lebih 538,000 kematian dan menjangkiti 11.6 juta orang di seluruh dunia.

ep2p-5small