Ikon celik al-Quran

AMAL kebajikan tidak akan terhenti walaupun saat dunia dilanda pelbagai ancaman. Tidak kiralah sama ada ancaman perang fizikal mahupun berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat seperti pandemik Covid-19.

Bagi pasangan penyanyi duo adik-beradik, Heliza dan Hazwani Helmi, kedua-duanya tidak pernah berhenti daripada terus melakukan kerja amal untuk manfaat orang di sekeliling mereka.

Jika sebelum ini, nama dua beradik ini cukup serasi dengan pelbagai misi kemanusiaan di dalam dan luar negara, kini disebabkan beberapa kekangan, mereka hanya dapat melakukan misi kemanusiaan di dalam negara.

“Sepatutnya menjelang Aidiladha kami akan melakukan ibadat korban di Bangladesh dan Afrika selain Malaysia. Bagaimanapun, disebabkan krisis Covid-19 yang melanda dunia, kami tak dapat pergi ke negara itu,” kata Heliza.

Bercerita mengenai ibadat korban dan misi kemanusiaan, Heliza juga berkongsi pengalamannya menyembelih kambing.

“Sebelum ini, kami pernah ke Afrika dan berpeluang melakukan sendiri proses menyembelih kambing. Masya-Allah, itu adalah pengalaman berharga dan tak sangka dapat peluang itu,” katanya.

Hazwani pula menambah, walaupun saiz kambing tidak sebesar lembu, ia masih memerlukan banyak kudrat.

“Kalau nak sembelih lembu, lagi banyak tenaga diperlukan. Jadi, kami sembelih kambing saja dahulu,” katanya.

Selain itu, Heliza dan Hazwani juga kini sedang menantikan makluman daripada badan bukan kerajaan yang disertai mereka mengenai misi kemanusiaan ke Syria.

“Kami masih menantikan maklumat daripada mereka buat masa sekarang. Mungkin kerana krisis yang melanda dunia, banyak aspek perlu dipertimbangkan. Selain itu, kami juga baru pulang dari Pahang dan melihat sendiri keadaan lembu yang akan dikorbankan,” katanya.

Selain itu, dua beradik ini juga kini diangkat ikon program Jom Celik Al-Quran, hasil kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan Istitut Pengajian Al-Quran (IPaQ).

“Kemampuan membaca al-Quran saya masih pada tahap yang lemah dan merangkak. Jadi, saya berdoa kepada Allah supaya dipermudahkan pembelajaran saya untuk belajar al-Quran.

“Nak dijadikan cerita, saya dihubungi seorang ikon program ini iaitu Ustaz Rushdi Al-Jauhari dan dia menerangkan mengenai sistem pembelajaran dalam program Jom Celik Al-Quran ini.

“Jadi, saya dan Hazwani tak mahu sekadar kami saja yang belajar dan ingin kongsikan ilmu ini dengan semua orang,” kata Heliza.

Bagi Hazwani, ini adalah satu inisiatif yang sangat bagus yang dilakukan oleh pihak MAIWP.

BERSAMA rakan artis yang turut terpilih sebagai ikon Program Celik Al-Quran.
BERSAMA rakan artis yang turut terpilih sebagai ikon Program Celik Al-Quran.

“Inisiatif ini adalah satu perkara yang patut diberikan pujian kerana manfaatnya akan berlaku secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat. Lihat saja barisan ikon yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Ditanya mengenai tugasan mereka sebagai ikon untuk kategori generasi muda, Heliza dan Hazwani akan menggunakan platform media sosial sebagai wadah untuk berkongsi ilmu al-Quran.

“Kita gunakan platform media sosial dengan sebaik mungkin. Kalau kita lihat, zaman sekarang wujud pelbagai trend yang boleh dikatakan sangat maju. Jadi, proses pembelajaran al-Quran juga haruslah maju dan kalau boleh mendahului,” kata Heliza.

Menurutnya, proses pembelajaran al-Quran juga mungkin boleh menarik minat golongan muda terutama kanak-kanak sekiranya ia dicorak dalam bentuk lagu.

“Contohnya, di sekolah dahulu mata pelajaran Kimia memerlukan kita untuk hafal banyak fakta. Jadi, apabila dijadikan dalam bentuk lagu, ia mudah diterima dan dihafal.

“Begitu juga dengan cara belajar al-Quran. Sekiranya ia dilagukan, mungkin akan lebih mudah dan pada masa sama dapat menarik perhatian generasi muda dan kanak-kanak,” katanya.

Bergelar ikon untuk program ini tidak menjadikan kedua-dua penyanyi ini rasa terbeban, sebaliknya menganggap ia sebagai tambahan rohani untuk diri mereka.

“Allah akan mudahkan urusan kita apabila peruntukan waktu untuk al-Quran,” kata Heliza.

Hazwani pula mengajak masyarakat supaya sentiasa menjadikan al-Quran sebagai satu kepentingan dalam hidup.

“Jadikan al-Quran itu seperti oksigen untuk kita kita sentiasa memerlukannya,” katanya.

Selain Heliza dan Hazwani, program Jom Celik Al-Quran turut membariskan ikon lain iaitu Ustaz Rushdi Al-Jauhari, Adam Corrie Lee, Lisdawati dan Zila Bakarin.

H Metro

ep2p-2