Apa Yang Akan Berlaku Di Kedah Hari Ini?

KEDAH: Persoalan tentang perubahan dalam kerajaan negeri yang mula bertiup kencang sejak beberapa hari lepas, mungkin terjawab hari ini apabila 2 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dijangka membuat pengumuman yang bakal menentukan kedudukan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Memetik laporan dari Malaysiakini, 2 ADUN PKR tersebut, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) pagi ini mengeluarkan undangan ke “sidang media khas” pada jam 12 tengah hari ini.

Dua hari lepas, Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dipetik Astro Awani sebagai berkata, “Pas menyerahkan sepenuhnya kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah untuk membuat keputusan berhubung jawatan menteri besar di negeri itu”.

Terdahulu, Pas Negeri Kedah dilapor mengadakan satu pertemuan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar melibatkan kesemua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti tersebut susulan kenyataan Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yahaya Rabu minggu lepas, yang yakin parti itu akan mengambil alih pentadbiran negeri daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) campur Bersatu ketika ini, yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua ADUN dari Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Norsabrina Mohd Noor serta Datuk Suraya Yaacob.

ep2p-5small