Aplikasi Cuaca Dark Sky Dibeli Oleh Apple – Sokongan Peranti Android Dimatikan – Amanz

Dark Sky ialah aplikasi pembacaan cuaca yang sangat popular di negara-negara barat, khususnya di rantau Amerika dan juga Eropah kerana kebolehannya untuk membaca cuaca sesuatu kawasan dengan tepat.

Aplikasi tersebut sangat popular, sehinggakan ia bukan sahaja hadir melalui aplikasi peranti iOS dan Android, tetapi API aplikasi ini juga digunakan oleh pelbagai jenis perkhidmatan pembacaan cuaca yang lain untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini.

Hari ini, Dark Sky telah mengumumkan bahawa syarikat mereka telah diambil-alih oleh Apple, dimana beberapa perubahan besar akan dan telahpun berlaku dalam masa yang sangat singkat.

Pertama, sokongan untuk peranti-peranti Android sudahpun dimatikan, dimana para pengguna peranti tersebut mengatakan aplikasi tersebut kini tidak lagi boleh dimuat-turun melalui Google Play Store.

Menurut kenyataan media Dark Sky, para pengguna aplikasi tersebut yang sedia ada di platform Android masih boleh menggunakannya sehingga 1 Julai 2020, dimana ia akan dimatikan secara rasmi, dan pelanggan yang masih aktif menggunakannya akan menerima wang kembali.

Untuk perkhidmatan yang menggunakan API Dark Sky seperti Microsoft, pemalam cuaca Google Chrome, Carrot Weather, Microsoft dan sebagainya, API tersebut akan boleh digunakan sehingga hujung tahun ini sebelum ia dimatikan.

Ia juga dilaporkan bahawa Apple membeli Dark Sky untuk memperbaiki aplikasi cuaca mereka sendiri, tetapi monopoli seperti ini agak sukar untuk diterima kerana terdapat banyak perkhidmatan pembacaan cuaca lain yang bergantung kepada Dark Sky untuk berfungsi.

ep2p-5small