Menteri Sumber Manusia Perlu Jelaskan Banyak Perkara

HARI ini semua orang sibuk dengan bahaya COVID19 yang jumlah kesnya semakin bertambah dari hari ke hari serta perintah sekatan perjalanan yang julung-julung kali di laksanakan di negara kita.

Tapi akan sampai satu masa perhatian rakyat akan beralih kepada satu perkara lain yang lebih penting – 2 minggu tak bekerja ni, apa yang kesannya kepada pekerja yang tidak dibayar gaji? Paling tidak bila sekatan perjalan ini tamat pada 31hb Mac nanti.

Setakat artikel ini ditulis, ada banyak kecelaruan dalam hal ini.

Pertama, YB Menteri Sumber Manusia, Datuk S Saravanan dipetik dalam kenyataan media bahawa tidak ada majikan yang boleh memberi cuti tanpa gaji kepada pekerja sepanjang tempoh sekatan perjalanan ini.

Kenyataan ini menimbulkan kekeliruan kerana dalam masa yang hampir sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan (melalui skim SIP Perkeso) akan membayar sebanyak RM 600 sebulan kepada pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji oleh majikan masing-masing akibat dari COVID19.

Berikutan pengumuman Perdana Menteri itu dibuat sebelum perintah larangan dikuatkuasakan, adakah ia merujuk kepada pekerja yang dikuarantin sajakah atau semua pekerja swasta yang layak serta tidak dibenarkan bekerja kerana sekatan perjalanan ini?

Kedua, baru-baru ini YB Menteri ada membuat kenyataan media mengenai majikan perlu membuat bayaran sebanyak RM 600 ke dalam akaun pekerja yang diberhentikan. Dalam kenyataan yang sama, turut disebutkan tentang pekerja yang tidak dibayar gaji sepanjang tempoh sekatan perjalanan ini.

Persoalannya, adakah ini berkaitan?

Ketiga, tersebar di laman-laman sosial mengenai dakwaan bahawa pekerja yang tidak dilindungi oleh Akta Pekerja 1955, turut tidak boleh diberi cuti tanpa gaji oleh majikan masing-masing.

Ini menimbulkan kekeliruan kerana jika tidak boleh diberi cuti tanpa gaji, kenapa kerajaan menawarkan bantuan sebanyak RM 600 dibawah skim EIS?

Justeru, adalah diharapkan untuk Menteri Sumber Manusia memberikan penjelasan sebaik-baiknya mengenai perkara ini. Jawapan yang sangat ditunggu ialah,

1. Skim yang mana satu yang terpakai untuk pekerja yang terjejas akibat kuarantin dan perintah larangan?
2. Skim mana satu pula yang terpakai untuk pekerja yang tertakluk dibawah Akta Pekerja 1955 dan yang tidak?

Harap dapat perhatian YBM.

ep2p-5small