Kerajaan Kedah Ibarat Buah Busuk, Tunggu Masa Untuk Gugur

KUALA LUMPUR – Krisis politik yang melanda persekutuan dijangka bakal memberi kesan terhadap kepimpinan kerajaan Negeri Kedah tidak lama lagi.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata kerajaan negeri Kedah turut terkesan ekoran krisis politik yang melanda negara.

Suraya berkata rakyat di negeri itu ternanti-nanti perubahan yang sama berlaku namun terbantut akibat “drama terbaru” Timbalan Presiden Bersatu yang sekali lagi memberontak terhadap Presiden partinya sendiri.

“Menginsafi dan mengambil iktibar atas episod-episod politik yang berlaku ini, UMNO Kedah mengambil pendirian untuk “tunggu dan lihat”. Bagai dikata PAS Kedah, tidak perlulah kita melatah dan menjolok buah di dahan, lambat laun ianya akan gugur bila tiba masanya.

“Buah yang ranum di dahan lebih sedap dinikmati berbanding buah yang dijolok gugur, selalunya kelat dan kurang manis rasanya,” katanya, memetik kenyataan tersebut.

Suraya yang juga merupakan Adun Sungai Tiang berkata kerajaan negeri pada ketika ini boleh diibaratkan sebagai buah rosak yang bakal gugur tidak lama lagi.

“Pada UMNO Kedah, buah yang rosak dimamah serangga juga selalunya tidak bertahan lama di dahan. Kadangkala, buah yang putik juga amat mudah jatuh gugur ke bumi khususnya jika dilanda ribut kencang.

“Bak kata orang Kedah, tidak perlulah di”hinggut” dahan pokok yang sudah reput akarnya, dengan izin Allah, tidak lama lagi mungkin ia rebah sendiri menyembah bumi,” katanya lagi.

Selanjutnya Suraya menegaskan kepimpinan Umno Kedah telah bersedia untuk sebarang bentuk perubahan tampuk pentadbiran yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

“Harus ditegaskan bahawa sebarang plot “drama politik PH ” atau perubahan pentadbiran yang berlaku di negeri ini haruslah selaras dengan lunas perlembagaan, legitimasi perundangan dan perlulah menitik beratkan kepentingan rakyat.

“Selain itu, UMNO Kedah juga yakin bahawa Muafakat Nasional (MN) Kedah kini sentiasa bersiap siaga dalam “mode” pilihanraya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku pembubaran Dun secara mengejut. Dalam keadaan terdesak, kadangkala “pengarah drama” akan jolok sendiri buah di dahan,” katanya lagi.

UMNO Kedah juga dikatakan telah selesai mengadakan perbincangan dengan Pas berhubung pembahagian kerusi. – SuaraTV

ep2p-2