Ahli Parlimen DAP Positif Jangkitan Koronavirus – Laporan

Anggota Parlimen Sarikei Wong Ling Biu didapati positif Covid-19, menurut beberapa sumber.

Perkara itu juga telah disahkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Wong dimasukkan ke Hospital Sibu pada 7 Mac lalu. Bernama sebelum ini memetik Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hong sebagai berkata, Wong merupakan pesakit dalam siasatan.

Bagaimanapun beberapa sumber dalam DAP berkata mereka dimaklumkan bahawa Wong telah didapati positif Covid-19.

Seorang anggota parlimen yang enggan nama didedahkan, berkata perkara itu disahkan oleh pegawai kesihatan yang menjalankan pengesanan kontak.

Anggota Parlimen itu berkata, mereka bersama-sama Wong hadir ke satu mesyuarat pada 1 Mac lalu.

Mereka juga bersama-sama Wong di Pudu, Kuala Lumpur pada keesokannya. Wong pulang ke Sibu pada hari tersebut.

Difahamkan seorang lagi anggota parlimen berada dalam kereta yang sama dengan Wong dan seorang anggota keluarganya ketika berada di Kuala Lumpur.

Bernama melaporkan Wong menghadiri beberapa mesyuarat politik sejak 29 Februari hingga minggu lalu.

Setakat ini Sarawak mempunyai sembilan kes Covid-19.

ep2p-2