Jumlah Kematian Koronavirus Di China Meningkat Kepada 2,233 Orang – SUARA TV

BEIJING – Angka korban wabak koronavirus Covid-19 di China meningkat kepada 2,233 orang pada Jumaat, selepas 115 kematian baru dicatatkan di wilayah Hubei yang paling teruk terjejas.

Sebahagian besar kematian itu dilaporkan berlaku di bandar Wuhan, ibu wilayah Hubei di mana virus itu mula dikesan pada Disember tahun lalu.

Kira-kira 75,000 orang dijangkiti virus Covid-19 dengan beratus lagi di lebih 25 negara lain.

Suruhanjaya Kesihatan Hubei berkata, sebanyak 411 kes jangkitan baru dilaporkan di wilayah itu dengan 319 di Wuhan dan selebihnya di beberapa bandar lain.

Semalam, China sekali lagi menukar kaedah pengiraan pesakit dan ia kini hanya mengambil kira pesakit yang disahkan positif Covid-19 melalui ujian makmal.

Ini adalah kali ke-2 kriteria pengiraan itu disemak semula dalam tempoh 8 hari, satu langkah yang boleh mencampuradukkan statistik dan merumitkan usaha mengesan penularan wabak itu.

Khamis minggu lalu, pegawai kesihatan China dilaporkan berkata, pihak berkuasa mengambil kira pesakit didiagnosis secara klinikal melalui imbasan paru-paru sebagai kes positif Covid-19, tambahan kepada ujian makmal.

Tindakan itu menyebabkan peningkatan mendadak kes jangkitan baru dalam tempoh sehari, iaitu sebanyak 14,840 kes pada 13 Feb lalu.

Perubahan itu dibuat kerana ramai pesakit terpaksa menunggu ujian asid nucleik yang menyebabkan keadaan mereka bertambah teruk dan memerlukan rawatan segera.

ep2p-2