Janji Hapus Tol Tapi Kutipan Tol PLUS Lanjut 38 Tahun Lagi, WCE Ada 10 Tol Baru – Dr Wee – SUARA TV

KUALA LUMPUR – MCA menempelak kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa penurunan kadar tol PLUS sebanyak 18% sejak semalam adalah langkah ke arah penghapusan oleh kerajaan.

Sebaliknya, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan penurunan kadar tol itu bermakna PLUS mempunyai 38 tahun lagi untuk mengutip tol berbanding 18 tahun lagi jika langkah pengurangan tersebut tidak diilakukan.

Jadi, soalnya, bagaimana Guan Eng boleh menggambarkan pengurangan tol itu sebagai langkah demi langkah ke arah penghapusan tol.

Malah, katanya, Guan Eng juga gagal untuk menerangkan pengurangan 18% kadar tol itu sebenarnya dibiayai sebahagian besarnya oleh pencarum-pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan pengaturan baru bermula semalam, pencarum-pencarum KWSP yang sebenarnya memberi subsidi 18% kepada pengguna tol dan juga kerajaan setiap tahun.

“Ini kerana, dengan penurunan kadar tol itu KWSP tidak lagi mendapat manfaat daripada pampasan tahunan yang dibayar oleh kerajaan kepada PLUS,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selain itu tambah beliau, semalam juga lebih daripada 10 plaza tol baru di lebuh raya Pantai Barat (WCE) secara rasminya mula mengenakan tol walaupun DAP banyak kali mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa lebuh raya itu akan bebas tol apabila Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Ini berdasarkan banyak kenyataan media dan video yang dibuat oleh pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Setiausaha Politiknya, Tony Pua, termasuk pada tahun 2018, sebelum pilihan raya umum.

“Mereka bercakap mengenai pemansuhan tol termasuk kemungkinan mengambil alihnya. Beberapa kenyataan serupa juga telah dibuat pada tahun 2012. Tetapi sudah tentu para pemimpin DAP kini telah melupakan ikrar dan janji-janji yang pernah dibuat.

“Lebih teruk apabila DAP cuba berbohong selepas gagal memenuhi ikrar dan janji-janji mereka,” selar Ka Siong lagi.

Menurut Presiden MCA itu lagi, rakyat tidak bodoh dan tolong jangan menghina kebijaksanaan rakyat kerana mereka telah mendengar banyak ceramah pilihan raya dan menonton video untuk mengetahui bahawa DAP telah berbohong tanpa henti dengan menabur banyak janji-janji untuk menghapuskan tol.

Tambahnya, ramai pemimpin DAP muda mungkin tidak tahu pada 7 September 1990, beribu-ribu orang dari Cheras berdepan dengan polis kerana menentang kewujudan tol di sana.

Bantahan itu menyaksikan DAP berdepan dengan pertuduhan, bahkan parti itu turut membuat tuduhan terbuka terhadap Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memihak kepada kroni politiknya.

Tetapi kini, kata Ka Siong, Menteri Kewangan dan Setiausaha Agung DAP pula memperluaskan kutipan tol untuk 38 tahun lagi.

“Cukup cukup. Semakin jelas kerajaan dan khususnya DAP tidak lagi boleh dipercayai untuk memenuhi janji tetapi telah melanggar janji-janji pilihan raya dengan lebih teruk. Cukup-cukuplah,” ujarnya.

ep2p-2