DAP Sokong Anwar Jadi PM Kelapan – Sin Chew Daily – SUARA TV

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen DAP akan memilih Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin, lapor portal FMT yang memetik laporan akhbar Sin Chew Daily.

Lapaoran sama menyebut, seorang ahli Parlimen DAP berkata, parti itu telah memberi taklimat mengenai perkembangan politik terkini kepada semua ahli Parlimennya di ibu pejabat parti pada tengah hari tadi.

Taklimat berkenaan berakhir 1.10 tengah hari tadi dan semua ahli Parlimen DAP menaiki bas ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

DAP sebelum ini merayu Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri selepas meletakkan jawatan secara mengejut Isnin lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew mengesahkan Ahli Parlimen parti itu telah menandatangani pengisytiharan untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri baru.

“Kami bagi sokongan penuh (kepada Anwar) sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Baru sebentar tadi kami tandatangan SD (akuan bersumpah) dan setakat ini PKR berdiri di belakang Anwar.

“Saya percaya Amanah dan DAP bersama dengan kami, kami selalu bersama,” katanya dipetik dari laporan HMetro.

Sementara itu, Muafakat Nasional yang terdiri daripada BN dan PAS, bersama PBRS semalam mengumumkan akan menarik balik Akuan Bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir jika bekas Perdana Menteri ke-7 itu meneruskan rancangan kerajaan baru yang turut disertai DAP.

“Kami tidak boleh bersekongkol dengan DAP. Sehubungan itu, kami sebulat suara tidak akan sertai kerajaan.

“Kita belajar dari sejarah, Pakatan Harapan (PH) tumbang kerana ada pihak dalam gabungan itu yang hipokrit. Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa.

“Sokongan yang kita beri kepada Tun (Mahathir) untuk membentuk coalition terpaksa kita tarik balik dan Akuan Bersumpah (SD) yang kita sampaikan itu terhad kepada membentuk coalition tanpa DAP.

“Apa-apa yang selain dari itu maka sokongan kita itu tak sah. Sokongan yang telah diserahkan pada Ahad lalu kita tarik balik,” kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media khas Muafakat Nasional di PWTC semalam.

Muafakat Nasional juga sebulat suara mengesyorkan supaya Parlimen dibubarkan dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan mereka.

Berasaskan kemungkinan mahu dibentuk kerajaan perpaduan (disertai DAP) secara prinsipnya ia banyak bercanggah dengan dasar yang ditetapkan parti.

“Selepas parti berbincang, kita tidak boleh menyembunyikan kepada rakyat dan mohon Parlimen dibubarkan. Biarlah rakyat yang menentukan,” katanya. – SuaraTV

ep2p-5small