Citroen Melancarkan Kereta Elektrik Mini Yang Tidak Memerlukan Lesen Untuk Dipanda – Amanz

Beberapa negara Eropah seperti Norway telah berazam akan mengharamkan penggunaan kenderaan bahan api fosil sebelum berakhirnya dekad 2020an. Pengeluar kereta Eropah kini berpusu-pusu melancarkan kenderaan elektrik mereka bagi memenuhi keperluan pasaran. Citroen telah melancarkan kereta elektrik mini yang langsung tidak memerlukan lesen untuk dipandu di Eropah.

Citroen Ami yang membawa hanya dua penumpang hanya didaftarkan sebagai sebuah basikal empat roda. Oleh sebab itulah di Perancis ia boleh dipandu oleh remaja 14 tahun atau 16 tahun di negara seperti United Kingdom.

Dengan motor elektrik 6 kW (8 kuasa kuda) Ia mampu bergerak pada kelajuan 45 kilometer sejam dengan jarak operasi sehingga 70 kilometer. Bateri yang hanya sebesar 5.5 kWh boleh dicas sepenuhnya dalam masa 3 jam menggunakan palam elektrik rumah standard.

Saiznya yang kecil memudahkan ia diparkir serta bergerak lincah di dalam lorong-lorong kecil bandaraya Eropah. Ini menjadikan Ami kenderaan mobiliti peribadi urban yang sesuai untuk benua tersebut.

Perkara paling menarik mengenai Ami ialah ia tidak mempunyai sebarang sistem infohibur. Terdapat tempat meletak telefon pintar pada konsol tengah yang mengubahnya menjadi skrin navigasi.

Citroen Ami ditawarkan pada harga 6000 Euro (~RM 27,866) sebuah atau sewa bulanan 19,90 Euro (~RM 93). Harganya yang amat kompetitif akan menjadikan pemilikannya lebih realistik memandangkan kenderaan elektrik lain di pasaran adalah terlalu mahal.

ep2p-2