Ramai Warga Singapura Bercuti Di Johor, Lari Dari Coronavirus China – SUARA TV

JOHOR BAHRU – Ramai rakyat Singapura yang bimbang dengan pengumuman Kementerian Kesihatan republik itu mengenai pengesahan kes pertama coronavirus, memutuskan untuk menghabiskan cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina di luar negara termasuk ke bandar raya ini.

Kes pertama virus baharu itu disahkan malam tadi membabitkan warga emas 66 tahun dari Wuhan, China, yang bercuti ke Singapura. Anak lelaki warga emas itu yang berusia 37 tahun turut disyaki dijangkiti manakala lapan lagi yang sempat masuk Johor, kini dikuarantin di sebuah hotel di sini.

Tinjauan di perkarangan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, mendapati kebanyakan rakyat Singapura yang memasuki negara ini sempena cuti panjang Tahun Baru Cina juga turut memakai penutup hidung dan mulut.

Seorang rakyat Singapura yang mahu dikenali sebagai Stella, 36, berkata ramai rakyat Singapura yang terkejut dengan pengumuman Kementerian Kesihatan negara itu malam tadi memutuskan untuk sama ada bercuti di sini atau negeri lain berhampiran.

“Panik juga kerana sebelum ini hanya China, Jepun dan Amerika Syarikat mengesahkan jangkitan virus ini namun semalam sudah tiba di Singapura.

“Keluarga kami sepatutnya hanya menghabiskan cuti Tahun Baru Cina di Singapura namun mengubah keputusan saat akhir untuk meraikan raya di rumah ibu saudara di Taman Sutera.

“Kami juga sempat membeli penutup hidung dan muka bagi dipakai di kawasan awam bagi mengelakkan risiko mendapat jangkitan coronavirus mahu pun influenza,” katanya ketika ditemui di luar CIQ, hari ini.

Seorang lagi warga Singapura yang mahu dikenali sebagai Albert berkata, keadaan di Singapura terkawal namun ia tidak meredakan kebimbangan rakyat negara itu.

“Bila dapat tahu ada kes coronavirus disahkan di Singapura, saya dan keluarga memang mengeluarkan stok penutup hidung dan mulut yang sudah dibeli awal.

“Kami sangat bimbang kerana virus itu dikatakan mampu tersebar dengan cepat. Bagaimanapun kami harap tiada lagi kes coronavirus di Singapura kerana bimbang untuk mula bekerja semula minggu hadapan,” katanya.

ep2p-5small