POS MALAYSIA TERUS RUGI, KERAJAAN SEKADAR MELIHAT?

Oleh Ab Jalil Backer

Belasan ribu pekerja Pos Malaysia Berhad mungkin berhadapan kehilangan pekerjaan jika kerajaan berterusan mengabaikan permohonan kenaikan tarif pos yang lebih kompetitif dan setara dengan syarikat kurier lain. 

Menurut sumber permohonan kenaikan tarif ini membabitkan mel komersial bukannya mel biasa dan kad ucapan.

Isu ini tidak dapat dielakkan kerana sejak setahun lalu Pos Malaysia sentiasa mencatat kerugian. Terbaru syarikat penghantaran mel nasional ini mencatatkan kerugian bersih  sebanyak RM29.34 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2019.

Pendapatan Pos turut merosot 6.6 peratus kepada RM548 juta daripada RM589 juta sebelumnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Syed Md Najib Syed Md Noor, “kemerosotan itu disebabkan prestasi perkhidmatan pos, perniagaan kurier dan penerbangan yang rendah, menyebabkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM35.4 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM19.0 juta suku sama tahun sebelumnya.

“Kerugian itu disebabkan penurunan yang berterusan dalam jumlah mel kami (14 peratus tahun ke tahun) dengan kos yang meningkat untuk khidmat Obligasi Perkhidmatan Universal (USO),� katanya.

Dengan kata lain ada dua perkara pokok dalam masalah kerugian Pos Malaysia ini iaitu penurunan pelanggan dan peningkatan kos.

Dalam apa perniagaan pun isu jualan dan kos adalah faktor utama menentukan untung rugi.

Jumlah pengguna atau pelanggan pos berkurangan kerana orang ramai telah berubah kepada emel dan komunikasi digital lain bagi hal-hal peribadi dan urusan berkaitan kerja. Dengan kata lain, kemajuan teknologi komunikasi telah mengurangkan jumlah mel biasa sekaligus mengurangkan pendapatan Pos Malaysia.

Begitu pun perkembangan teknologi online juga telah merancakkan perkhidmatan khidmat penghantaran barangan. Pertumbuhan segmen perniagaan online memerlukan khidmat syarikat pekhidmatan penghantaran yang cekap dan cepat.

Ini merupakan segmen yang Pos Malaysia perlu beri tumpuan khusus bagi meningkatkan pendapatan.

Pos Malaysia merupakan satu-satunya syarikat perkhidmatan penghantaran yang mempunyai jaringan penghantaran paling besar di negara ini.

Mereka mempunyai lebih 1,000 premis di seluruh negara merangkumi Pejabat Pos, Mini Pos, Pos24 (terminal layan diri), Post-On-Wheels (Pejabat Pos Bergerak) dan ejen pos pos.

Pos Malaysia juga mempunyai lebih 7000 orang posmen sepenuh masa dan beratus posmen komuniti (separa masa).

Dengan kata lain jika Pos Malaysia mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan penghantaran, mereka pasti akan menjadi pilihan utama peniaga kecil dan usahawan online.

Baru-baru ini penulis menggunakan salah satu pakej pos untuk penghantaran barang iaitu Flexi Prepaid yang menyeragamkan kos penghantaran ke seluruh negara pada RM4.75 bagi barang bawah 500 gram.

Di bawah pakej ini, barang dijanji sampai kepada pelanggan dalam masa 4-5 hari bekerja bagi semenanjung dan 5-7 hari bekerja bagi Sabah dan Sarawak. Walaupun 80% daripada pakej sampai kepada pelanggan, ada 20% bermasalah.

Antaranya ialah lewat sampai, terperap sehingga sebulan di pejabat pos dan ada yang hanya dikembalikan kepada pengirim sebulan selepasnya.

Pada hemat penulis masalah-masalah ini terjadi adalah kerana kos penghantaran yang agak rendah menyebabkan pos gagal meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka seperti menghantar sms kepada penerima untuk bungkusan yang gagal dihantar.

Pos Malaysia mempunyai bebanan perkhidmatan besar termasuk di kawasan yang tidak menguntungkan dan menanggung kos penghantaran dari luar negara kepada penduduk tempatan.

Namun dalam masa yang sama tarif atau kadar pos ditentukan oleh kerajaan tanpa mengambil kira peningkatan kos. Kali terakhir kadar tarif dinaikkan ialah pada 2010 yang lalu.

Walaupun Kerajaan bersetuju untuk menaikkan tarif pos, sehingga kini tiada butiran terperinci diumumkan.

Mungkin sudah tiba masanya Kerajaan membenarkan Pos Malaysia bergerak sebagai sebuah syarikat yang bebas dari kawalan kerajaan terutama bagi tarif penghantaran barang dan pakej.

Adalah tidak adil untuk kerajaan berterusan mengawal penentuan tarif penghantaran untuk Pos Malaysia sedangkan syarikat penghantaran kurier lain bebas menentukan tarif mereka.

Kita tidak mahu melihat Pos Malaysia yang mempunyai tanggungjawab penting menghubungkan rakyat di seluruh negara akhirnya muflis kerana sikap lepas tangan kerajaan.

Kerajaan mungkin hanya perlu mengawal tarif mel biasa seperti surat menyurat dalam sampul saiz standard tertentu sahaja.

Manakala tarif mel dan kurier lain terutama membabitkan perniagaan haruslah dibenarkan kenaikan setara dengan perkhidmatan kurier yang lain.

Apa pun kerajaan perlu membuat keputusan segera berkaitan tarif ini kerana ia membabitkan periuk nasib belasan ribu pekerja Pos Malaysia.

ep2p-5small