Penyebab Kecederaan Paru-Paru Pada Pengguna Rokok Elektronik Telah Ditemui – Amanz

Penyakit kecederaan paru-paru akibat rokok elektronik dan produk vape (EVALI) ialah terma baharu dunia perubatan yang kini tular secara global. Di Amerika Syarikat sudah terdapat 39 kes kematian akibat EVALI dan ribuan pula terpaksa dirawat di hospital. Sementara itu di Malaysia kes EVALI juga mula dilaporkan dengan kes tular terkini empat hari lalu di Labuan. Sebab mengapa EVALI mungkin telah akhirnya diketahui menurut Pusat Kawalan Penyakit (CDC)Amerika Syarikat.

Menurut CDC, asetat vitamin E yang digunakan untuk mencairkan cecair vape mungkin antara penyebabnya. Asetat vitamin E ditemui pada 29 sampel ujian tisu paru-paru pengidap EVALI. Dalam sampel yang sama THC (ganja) ditemui pada 82% sampel dan nikotin pula pada 61%. Ini mungkin bukti paling kukuh bahawa asetat vitamin E memberikan kesan buruk pada paru-paru penghisap rokok elektronik.

CDC juga mendapati asetat vitamin E biasanya hanya digunakan pada cecair vape yang mengandungi THC. Majoriti cecair yang mengandungi THC ini tidak dijual secara komersial. Ia mungkin dijual oleh dispensari ganja berlesen atau dibeli secara atas talian. Tetapi CDC tidak menolak kemungkinan asetat vitamin E mungkin turut digunakan pada cecair vape lain di pasaran.

Penemuan CDC ini diharap dapat mengelakkan kecederaan dan kematian dari berlaku di kalangan pengguna rokok elektronik. Sekiranya adan tergolong di dalam kumpulan ini, ada baiknya jika anda mengelakkan pembelian liquid yang mengandungi asetat vitamin E buat masa ini.

ep2p-5small