Imigresen Tahan ‘Datuk’ Disyaki Kaut Untung Jual Kad Pekerja Asing Palsu – SUARA TV

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah agensi pekerjaan bergelar “Datuk” ditahan kerana disyaki menawarkan kad pekerja asing palsu dalam serbuan di sebuah hotel, semalam.

Tangkapan pada pukul 3.30 petang itu dibuat menerusi operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan polis hasil maklumat dan risikan.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata tujuh lagi warga tempatan dan seorang warga Indonesia turut ditahan bersama pelbagai dokumen menggunakan nama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM yang disyaki palsu.

Menurutnya pemeriksaan mendapati agensi pekerjaan itu menjalankan aktiviti pendaftaran kad untuk warga asing dikenali sebagai Malaysian Clarification Authority Card (MCAC) dengan menggunakan nama KDN dan jabatannya.

“Agensi ini menyasarkan warga asing yang berstatus pendatang tanpa izin untuk mendaftar dengan mereka dan mendapatkan kad MCAC yang didakwa berfungsi sebagai ‘permit kerja’ dan boleh bekerja di mana-mana sektor,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata pendatang tanpa izin perlu membayar RM4,000 sebagai wang pendahuluan sebelum menjalani temuduga yang didakwa dikendalikan oleh pegawai KDN dan imigresen.

Katanya dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas melalui fasa temuduga, pendatang tanpa izin dikatakan akan melalui proses tapisan polis untuk tujuan pemeriksaan rekod jenayah.

“Selepas semua proses itu selesai, pendatang tanpa izin perlu membayar baki RM4,500 lagi bagi melengkapkan urusan dan mendapatkan kad MCAC yang telah siap,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata semua mereka yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Agensi Pekerjaan Swasta.

ep2p-2