Polis Tahan Lelaki Singapura, Bantu Siasatan Kes Bunuh dan Kerat Mayat – SUARA TV

MELAKA – Polis menahan seorang lelaki warga Singapura bagi membantu siasatan kes penemuan lapan bahagian tubuh badan mayat manusia, dipercayai mangsa bunuh, di Kampung Ladang, Perindustrian Krubong, di sini, petang kelmarin.

Polis percaya lelaki terbabit ada maklumat berkaitan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menjalankan siasatan dan mendapati hanya sebahagian badan manusia dijumpai di kawasan itu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di rumahnya di Taman Merdeka Jaya berdasarkan kesan darah di sebuah bilik di kediaman itu.

“Dengan kerjasama polis Singapura, suspek yang disyaki terbabit dengan kes ini ditahan pihak berkuasa di sana dan waran tangkap sudah dipohon di hadapan Majistret Melaka untuk membawa suspek ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki terbabit apabila dia dibawa ke negara ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, polis menemui lapan bahagian tubuh badan mayat manusia dipercayai mangsa bunuh di kawasan itu.

Bahagian mayat berkenaan ditemui seorang tukang potong rumput berusia 37 tahun, yang menjalankan kerja penyelenggaraan di sekitar kawasan semak berhampiran tempat kejadian.

Siasatan awal polis percaya mayat sudah lima hari berada di situ namun belum dapat mengesahkan identiti dan jantina berdasarkan penemuan bahagian tubuh tidak lengkap itu.

Hari ini, viral di media sosial laporan mengenai kes itu serta gambar seorang wanita dan anak lelakinya yang didakwa mangsa, tetapi sehingga kini polis belum membuat sebarang pengesahan.

Tinjauan ke rumah mangsa semalam juga mendapati ia tidak berpenghuni.

Seorang jiran mangsa yang enggan dikenali berkata kali terakhir ibunya menemui lelaki terbabit pada minggu lalu dan tidak melihat apa-apa perubahan.

Sejak mendiami rumah dua tingkat itu hampir dua tahun lalu, katanya, dia tidak pernah mendengar lelaki warganegara Singapura dan isterinya itu bergaduh.

“Walaupun mereka jarang balik, sesekali apabila pulang, mereka tetap menyapa saya dan tidak menunjukkan seperti mempunyai masalah dalam hubungan.

“Memang pasangan itu dan tiga anaknya jarang balik ke sini kerana suaminya bekerja di Singapura dan hanya pulang tak sampai 10 kali sebulan,” katanya. – BH

Lain-lain berita;

ep2p-5small