Mana Maruah dan Harga Diri UM Sebagai Universiti? – Dr Anuar – SUARA TV

KUALA LUMPUR – Tindakan Universiti Malaya (UM) tidak merujuk Wong Yan Ke yang melakukan protes semasa majlis konvokesyen baru-baru ini kepada Jawatankuasa Tatatertib menjadi pertanyaan sedangkan universiti tersebut bersetuju graduan berkenaan telah membuat kesalahan dengan sengaja apabila melakukan perbuatan yang tidak menghormati istiadat dan mencemarkan majlis.

Perkara itu menimbulkan persoalan ramai kerana bukankah jika terdapat perilaku atau tindakan warga universiti yang melanggar peraturan universiti, pelaku mesti dirujuk ke jawatankuasa tatatertib.

Seorang pensyarah, Dr Anuar Ahmad berkata, apakah ini bermaksud pengurusan universiti tidak menjalankan tanggungjawab mereka dan di mana letaknya integriti pihak pengurusan universiti ini.

“Adakah ini juga bermaksud konsep ‘rule of law’ di Universiti Malaya tidak terpakai dalam kes ini? Saya tidak faham,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Beliau mengemukakan persoalan tersebut berdasarkan kenyataan media yang dibuat oleh Lembaga Pengarah Universiti Malaya berhubung isu membabitkan penahanan sijil ijazah milik Yan Ke.

Dr Anuar berkata, beliau juga semakin tidak faham apabila pengurusan UM yang menyatakan kesal atas gangguan yang disebabkan oleh Yan Ke, bertindak membuat permohonan maaf bagi pelajar berkenaan.

Soalnya: “Apakah pihak pengurusan universiti bersetuju dengan tindakan beliau sehingga bersedia mewakili beliau untuk memohon maaf kepada para jemputan, ibubapa dan para pelajar yang hadir ke majlis konvokesyen tersebut?

“Bukankah sepatutnya pelajar ini sendiri yang perlu memohon maaf atas tindakan beliau? Di mana maruah dan harga diri sebuah universiti? Saya tidak faham”.

Tegasnya, oleh kerana pelajar ini telah melakukan kesalahan dan ada bukti dan saksi yang melihat, sepatutnya beliau dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib universiti terlebih dahulu.

Beliau berpandangan, sehingga jawatankuasa tatatertib selesai bersidang dan membuat keputusan, skrol dan transkrip keputusan pelajar berkenaan mestilah digantung dahulu.

“Ini adalah amalan biasa prosiding tatatertib universiti. Sama juga keadaannya, bila seseorang pelajar yang didakwa melakukan kesalahan plagiat atau telah ditangkap meniru dalam peperiksaan, keputusan peperiksaan beliau akan digantung dahulu sehingga jawatankuasa tatatertib selesai bersidang dan membuat keputusan.

“Mengapa di dalam kes ini, pelajar yang bernama Wong Yan Ke tidak melalui prosiding yang sama? Malah pelajar ini dibenarkan mengambil skrol ijazah beliau pada bila-bila masa.

“Mengapa pilih kasih dan ‘double standard’ berlaku di universiti tersebut? Saya semakin tidak faham,” ujarnya sambil berkata bukanlah niatnya untuk mempertikaikan keputusan tersebut kerana itu adalah bidang kuasa UM.

Cuma, katanya, apabila kenyataan media secara rasmi sudah disebarkan untuk makluman umum, sebagai rakyat biasa yang membaca, beliau tentulah membaca untuk memahaminya tetapi tidak nampak di mana logik dan rasional keputusan universiti tersebut. – MalaysiaGazette

Lain-lain berita;

ep2p-2