Jaringan Hatrik Safawi Rasid Bawa JDT Ke Final Piala Malaysia – SUARA TV

SHAH ALAM – Penyerang Safawi Rasid menjadi ‘mimpi ngeri’ buat Selangor apabila jaringan hatriknya membolehkan Johor Darul Ta’zim (JDT) membenam juara 33 kali itu 3-0 pada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi sekali gus mara ke final.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Benjamin Mora itu menghimpun agregat 5-1 bagi menamatkan musim The Red Giants di laman sendiri ketika tuan rumah gagal memperagakan kebangkitan seperti ditunjukkan pada aksi suku akhir kedua sebelum ini.

Skuad Harimau Selatan dilihat cepat panas apabila melakukan dua percubaan dalam tempoh empat minit selepas aksi memasuki minit ke-20 menerusi percubaan Safawi yang diselamatkan Khairul Azhan Khalid, sebelum dia sekali lagi menepis keluar percubaan jarak jauh Gonzalo Cabrera pada minit ke-23.

Ketika Selangor seakan sudah selamat daripada gelombang serangan JDT, Afiq Fazail melorongkan satu hantaran yang gagal dipintas Michal Nguyen lalu sampai kepada Safawi dan kali ini, dia berjaya menewaskan Khairul Azhan untuk gol pembukaan seminit berselang.

The Red Giants memiliki peluang terhidang untuk mengikat kedudukan pada minit ke-41 apabila Khyril Muhymeen Zambri berada dalam situasi satu lawan satu dengan Farizal Marlias, namun refleks pantas penjaga gol itu menafikan hasrat Khyril untuk meraih gol pertama buat tuan rumah.

Selangor dengan semangat tinggi untuk bangkit terus tergamam apabila Safawi sekali lagi menewaskan Khairul Azhan dengan percubaan lencong menarik sejurus separuh masa kedua bersambung sekali gus meletakkan tuan rumah berada dalam tekanan.

Berkelebihan agregat 4-1, skuad Harimau Selatan terus mengganas apabila mereka memperolehi jaringan ketiga menerusi penyudah Safawi yang menyempurnakan hantaran Cabrera sekali gus membolehkan penyerang kebangsaan itu melengkapkan hatriknya pada minit ke-51.

ep2p-2