Dia pecut tanpa minta maaf – BAZOOKAPENAKA

Befunky Honda“WALAUPUN ‘bumper’ kereta hanya calar, namun saya kesal kerana dia tidak memberhentikan kenderaan untuk meminta maaf.”

Demikian kata Mohd Syazme Mohd Ilias, 35, mengenai video yang tular di media sosial menunjukkan Honda Jazz melanggar belakang Perodua Kelisa miliknya selepas didakwa cuba mengelak membayar tol.

Mohd Syazme berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Puncak Alam, Selangor dari tempat kerjanya di Shah Alam.

“Sudah menjadi tabiat saya untuk melihat cermin belakang ketika sampai di lorong berkenaan.

“Ketika itu, saya memandu bersendirian sebelum menyedari Honda Jazz mengekori rapat ketika kereta saya masuk di laluan Teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia mengesyaki pemandu itu cuba mengelak daripada membayar tol kerana tindakannya mengekori terlalu rapat.

“Kereta saya yang bergerak perlahan ketika itu dilanggar Honda Jazz terbabit sebelum kereta itu bertindak mengundur dan masuk ke laluan Touch N Go.

“Pemandu itu dilihat menyentuh kad pada kotak Touch N Go di laluan berkenaan sebelum terus memecut kenderaannya tanpa meminta maaf,” katanya.

Katanya, dia kemudian membuat laporan polis kerana kecewa dengan tindakan pemandu itu melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kemalangan terbabit berlaku di Plaza Tol Elmina, Lebuhraya Koridor Guthrie jam 4.56 petang, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati Honda Jazz dipandu lelaki berusia 27 tahun dari lorong Touch N Go di sebelah kanan mengubah laluan ke lorong RFID.

“Tindakan itu menyebabkan kenderaan berkenaan melanggar Perodua Kelisa ketika melepasi palang tol laluan RFID.

“Pemandu Honda Jazz berkenaan kemudian mengundur lalu masuk ke lorong Touch N Go semula dan terus memandu tanpa memberhentikan kenderaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan difahamkan Perodua Kelisa terbabit calar di bahagian belakang akibat kemalangan itu.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN166/59,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 46 saat tular di media sosial, hari ini, yang menunjukkan Honda Jazz itu melanggar belakang sebuah kenderaan yang didakwa cuba mengelak daripada membayar tol. – HMetro

(Visited 14 times, 1 visits today)

Comments

comments

ep2p-5small