Album Terbaru FTG “Kau Jangan Kurang Ajar” – SUARA TV

KUALA LUMPUR – Selepas hampir 14 tahun tidak menghasilkan album, kumpulan thrash metal lagenda negara, Freedom Thats Gone atau lebih dikenali sebagai FTG menghasilkan karya terbaharu berjudul Kau Jangan Kurang Ajar baru-baru ini.

Album baharu terbitan Rockstage Entertainment itu memuatkan lapan lagu antaranya Kita Bukan Anjing, Kalau Bodoh Jangan Sombong, Demokrasi Mimpi, Ibu Maafkan, Aku Bukan Izrail, Pengkhianat Lahanat, Dajjal (Musa Al Samiri) dan Kau Jangan Kurang Ajar.

Menariknya FTG kali ini menampilkan hampir semua anggota asal sejak penubuhannya iaitu Mohd. Isa Mohd. Rafli atau Jac sebagai gitaris, Mohd. Nizam Mohd. Shariff (Zam) selaku peman dram, Azmie Ibrahim (Mie) sebagai pemain bass dan Tajul Isni Akbar (Tajul) di posisi vokalis.

Sepanjang formasi sejak tiga dekad lalu mereka pernah bermain dari pentas gigs, fun fair sehingga konsert dan festival di seluruh negara yang berkongsi pentas dengan pelbagai nama besar selain menghasilkan lebih 10 album studio dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.


Menurut Mie, album berkenaan dirakamkan di Quantize Studio, Pandan Indah, proses adunan dilakukan di King Studio dan proses mastering pula di Sri Damansara untuk mendapatkan kualiti produksi yang berkualiti serta memuaskan.

“Daripada apa yang kami dengar dan apa yang kami lakukan di sepanjang proses penerbitan, mixing (adunan) dan mastering ternyata apa yang ingin kami persembahkan kepada peminat nyata memenuhi keperluan halwa telinga pendengar.


“Kami rasa inilah yang terbaik dan mampu kami hadiahkan buat peminat di luar sana yang selama ini menyokong karier seni kami,” ujar Mie ketika ditemui mengulas mengenai album Kau Jangan Kurang Ajar.

Pihaknya merakamkan penghargaan tidak terhingga terhadap Rockstage Entertainment kerana memberi kepercayaan kepada mereka untuk terus berkarya yang sebelum ini pernah beranung di bawah syarikat rakaman besar seperti FGM dan Pony Canyon (Interglobal).

Sementara itu, Pengurus Besar Rockstage Entertainment, Talib Othman berkata, peminat boleh mendapatkan album yang diriliskan dalam format cakera padat (CD) manakala format kaset boleh juga dapati namun pengeluarannya adalah terhad.


“Meskipun pendengar mempunyai pelbagai platform untuk mendengar karya FTG melalui lagu-lagu yang dimuat turun dari internet, namun memiliki album yang berbentuk fizikal ini nyata memberikan kepuasan apatah lagi boleh di simpan sebagai koleksi peribadi,” ujarnya.

Jelas Talib, album kali ini lebih berat penampilan muziknya namun masih lagi mengekalkan lirik yang sarat dengan mesej untuk peminat menghayati selain member peringatan dalam acuan tersendiri.

Beliau berkata, FTG dan Rockstage Entertainment bakal menjelajah ke beberapa lokasi untuk mempromosikan album itu selain memberi peluang kepada peminat baharu dan lama untuk bertemu dengan lagenda muzik keras itu.

Sebagai permulaan katanya, mereka akan mengadakan persembahan di Dewan Lipis Grand Continental Hotel, Kuantan Pahang pada 26 Oktober ini dimeriahkan dengan beberapa kumpulan jemputan seperti Giegil, The Pilgrims serta Nosferial.

Siri jelajah berkenaan akan diteruskan selepas itu di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak serta Johor selepas ini, katanya.

FTG diasaskan di Kuala Lumpur pada 1989 dan merupakan kumpulan underground pertama tempatan muncul dengan album mini berjudul Freedom That’s Gone pada 1991 iaitu dua minggu lebih awal sebelum Cromok meledak di pasaran dengan album pertama dua minggu selepas itu.


Setahun kemudian menghasilkan album pertama After The Promise di bawah syarikat rakaman Valentine Sound Production (VSP).

Sehingga kini FTG mempunyai 10 buah album studio antaranya ialah Spirit To Rebel (1994); To The Front (1996); Aku Tak Peduli (1998), Made In Malaysia (1999), FTG (2000), Made In Malaysia Vol.2 (2001), Reborn (2002), Stop This Madness (2004) dan Kuasa (2006).

FTG kemudiannya hilang daripada radar industri muzik berat tempatan selepas meninggalkan karya-karya yang menjadi penanda aras mereka.

Kehilangan mereka terjawab apabila buat pertama kali muncul di pentas Hard Rock Café Melaka pada 27 Februari 2016 dan pada tahun mengeluarkan album selepas sekian lama tidak merakamkan album baharu.

ep2p-5small