Kerajaan Digesa Tidak Teruskan Cadangan Henti Projek Perumahan Rakyat PPR

PETALING JAYA – Bekas menteri perumahan Abdul Rahman Dahlan menggesa Putrajaya menyemak semula cadangan menghentikan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Rahman terkilan dan kecewa dengan keputusan Putrajaya memandangkan isu perumahan rakyat berpendapatan rendah agenda agresif dan utama pentadbiran Barisan Nasional.

“Bagi kerajaan BN dahulu, projek PPR bukan sahaja memberi peluang kepada orang miskin dan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rumah selesa tetapi PPR juga mempunyai agenda lebih murni dari itu.

“Ia program berkongsi kekayaan negara dengan golongan kurang berada dalam negara. Hal ini kerana, secara tidak langsung golongan ini turut sama menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya di Facebook hari ini.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengkaji semula cadangan penjenamaan semula PPR kepada Program Perumahan Malaysia (PPM).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata cadangan ini jika diteruskan akan menghentikan pembinaan PPR di seluruh negara dan bakal menjejaskan peluang golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) mendapatkan kediaman.

Chow berkata dia menerima surat daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyatakan unit PPR akan dihentikan dan digantikan dengan PPM.

Kebiasaannya, unit PPR dijual pada harga RM35,000 di Semenanjung dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak dengan subsidi RM150,000 daripada kerajaan.

Di Pulau Pinang, ia disewa kepada golongan B40 pada kadar RM100 sebulan dan RM24 untuk yuran penyelenggaran.

Menurut Chow, unit PPM pula dijual pada harga RM90,000 hingga RM300,000.

Rahman menjelaskan apabila golongan berpendapatan rendah memiliki unit PPR, mereka juga memiliki rumah yang bernilai 3 hingga 4 kali ganda daripada pelaburan asal.

“Inilah cara BN berkongsi kekayaan negara dengan golongan miskin. Bagi mengelakkan penyalahgunaan dan memastikan tidak ada pembeli yang mengambil keuntungan dengan menjual rumah PPR dalam jangka masa pendek, kerajaan BN menetapkan syarat tidak boleh menjual rumah tersebut untuk 10 tahun,” katanya.

Beliau akui rumah kos PPR tinggi tetapi kos itu boleh dikongsi dengan negeri dan pemaju swasta.

“Program sosial seperti penyediaan rumah kos rendah PPR adalah tanggungjawab sebuah kerajaan. Sebab itu kerajaan tidak boleh mengharapkan keuntungan,” katanya.

Menurut Rahman, pemberhentian projek perumahan PPR akan memberi kesan besar kepada rakyat Sabah memandangkan negeri itu penerima projek PPR terbesar negara.

“Umno Sabah mendesak projek PPR diteruskan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – FMT

ep2p-2