Hakim Tolak Rayuan, Prosiding Kes Peguam Negara Hina Mahkamah Diteruskan – SUARA TV

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini (Khamis) menolak permohonan Peguam Negara, Tommy Thomas menukar semula notis rayuan jenayah kepada rayuan sivil berhubung prosiding komital yang difailkan bapa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, pada Julai lalu.

Peguam yang mewakili Mohd Kassim Abdul Hamid, Abi Mursyidin Awal berkata, prosiding komital itu akan diteruskan sebagai rayuan jenayah seperti diputuskan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi ketika pengurusan kes pada Isnin lalu.

Abi Mursyidin berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Meor Hashimi Abd Hamid menetapkan 22 Nov sebagai tarikh perbicaraan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner di sini pada 27 Ogos lalu yang membenarkan permohonan komital dijalankan ke atas Thomas.

“Pada tarikh berkenaan juga, akan didengar bersama permohonan pihak responden untuk membatalkan notis rayuan yang difailkan pihak peguam negara sebelum ini.

“Hakim turut memerintah plaintif (peguam negara) memfailkan petisyen rayuan pada atau sebelum 7 Okt serta memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 10 Okt ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, hakim turut menetapkan 24 Okt ini untuk responden dan plaintif memfailkan hujah masing-masing, manakala tarikh keputusan ditetapkan pada 25 Nov.

Terdahulu, plaintif membuat permohonan lisan untuk menukar rayuan jenayah kepada rayuan sivil.

Pada 16 Julai lalu, Kassim, 64, memfailkan permohonan perintah komital (hina mahkamah) terhadap peguam negara kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anaknya.

Permohonan sebelah pihak (ex-parte) itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di pejabat pendaftar Mahkamah Koroner.

Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Dis di Institut Jantung Negara. – Bernama

Lain-lain berita;

Letak Jawatan Segera atau Rakyat Menghadap Agong Gesa Pecat Tommy Thomas

Hina Mahkamah, Tommy Thomas Digesa Letak Jawatan Peguam Negara

Video: Rayuan Bapa Adib, Harap Penghakiman Inkues Tegak Keadilan dan Tidak Diganggu

ep2p-2