Gaji tak bayar punca Shukor Adan tawar hati? – bazookapenaka

Melaka: Bonus bayar, gaji tak bayarHasrat untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia 2019 telah disempurnakan oleh seluruh skuad Melaka setelah bergelar naib juara Kumpulan D di belakang Selangor, sekali gus mengubati kekecewaan terkandas di peringkat kumpulan musim lalu.

Namun, ‘kebahagiaan’ itu tampak seakan-akan menuju penamat selepas skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu tunduk 3-0 di tangan Pahang dalam aksi pertama suku akhir di laman sendiri semalam sehingga mencetuskan andaian kekalahan itu dikaitkan dengan masalah dalaman melibatkan skuad Hang Tuah itu.

Menurut laporan melakafa.blogspot.com, kelibat kapten, Shukor Adan, yang tidak dapat dilihat di atas padang ketika berdepan Pahang adalah susulan pertahanan berpengalaman itu yang sudah tawar hati dengan sikap pengurusan pasukan yang masih belum menyelesaikan isu tunggakan gaji.

“Dia tidak ada, secara jujurnya dia tak nak main. Mungkin hatinya tidak ada untuk beraksi dalam perlawanan hari ini (menentang Pahang),” kata Zainal apabila ditanya mengenai bekas bek tengah kebangsaan itu.


Dakwaan Shukor sudah kecewa dan tawar hati untuk menyarung jersi pasukan negeri kelahirannya itu juga ada asasnya tatkala sebelum ini dia memaparkan gambar di laman Instagram peribadi, meraikan kejayaan mara ke suku akhir. Tetapi dalam masa sama, dia meletakkan tanda pagar ekoran berang dengan situasi yang berlaku. Malah, akaun Facebook Shukor Adan Official juga menyatakan gajinya tidak dibayar sehingga lima bulan.

Beberapa tanda pagar seperti #hidupkeneAMANAH, #cubahormatipemain dan #kamibknsampah diletakkan
bersama gambar tersebut dan lebih menguatkan spekulasi itu, perkataan AMANAH seperti cuba disampaikan kepada Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari.

Dalam masa sama, beberapa pemain berstatus veteran dalam pasukan juga mendedahkan mereka turut
menerima nasib sama, hanya ditaburkan janji demi janji tetapi tetap tiada jalan penyelesaian.


“Sebenarnya masalah gaji ini berlaku sejak Februari lalu, berlarutan sehingga April, menyebabkan ia tertunggak selama tiga bulan. Apabila nak masuk bulan Mei, baru pengurusan bayar gaji Februari, jadi hanya bayar sebulan, baki dua bulan masih tertunggak. Sangkut tiga bulan, bayar sebulan,” kata salah seorang pemain yang tidak mahu didedahkan namanya.

“Kami dijanjikan isu tunggakan akan diselesaikan pada Jun lalu tetapi berlarutan sehingga Julai, Ogos dan September. Janji, janji dan janjilah. Sekarang tertunggak tiga bulan, bermula Julai sehingga September. Bonus layak ke suku akhir sudah dibayar tetapi gaji masih tertunggak.

“Sebenarnya, masalah ini adalah disebabkan presiden tidak dapat membawa masuk penaja, itu puncanya. Selama ini, kami pemain hanya berdiam sahaja.”

Aduhai, daripada nama Melaka, dijenamakan semula kepada Melaka United dan kembali dengan nama Melaka, agak tidak adil sekiranya pemain dijadikan mangsa akibat daripada pengurusan yang masih tidak dapat menyelesaikan masalah pembayaran gaji disebabkan keinginan mahu dibarisi nama-nama besar.

Disebabkan tajaan yang belum pasti diraih, janji demi janji ditaburkan semata-mata untuk menarik minat pemain dan jika benar dakwaan tiga hingga lima bulan gaji tidak dibayar, tidak mustahil kes ‘Datuk Doraemon’ melibatkan pasukan dari utara tanah air kembali berulang. – stadiumastro

(Visited 117 times, 119 visits today)

Comments

comments

ep2p-2