[VIDEO] Penunggang Grab Food cedera lawan dua penyamun – bazookapenaka

KUALA LUMPUR: Seorang penunggang Grab Food mengalami detik cemas selepas hampir menjadi mangsa samun dua lelaki di Phileo Damansara 2, Petaling Jaya, pada Jumaat.

Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 2.52 petang ketika mangsa Muhammad Amirul Adli Mohd Saharudin, 22, yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang bekerja dan dalam perjalanan dari One Utama ke Phileo Damansara 2, Petaling Jaya.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din semasa tiba di hadapan bangunan Phileo Damansara 2, mangsa telah didatangi dua suspek yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z dengan nombor pendaftaran yang tidak dikenal pasti.

“Salah seorang suspek menyuruh mangsa turun dari motosikal kerana mendakwa motosikal mangsa adalah motor curi dan mahu mengambilnya, seorang lagi suspek datang dari arah belakang dan terus memukul pengadu di bahagian kepala menggunakan ‘fork lock’.

“Salah seorang suspek kemudian cuba membawa lari motosikal mangsa namun mangsa sempat menendang motosikal itu sehingga jatuh.



“Ketika mangsa sedang bergelut dengan kedua-dua suspek, telefon bimbit salah seorang daripada mereka telah terjatuh sebelum kedua-duanya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd. Zani berkata saksi awam yang terlihat kejadian turut menyatakan ternampak salah seorang suspek membawa parang di belakangnya.

“Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian telinga, kepala, belakang badan, mulut dan beberapa bahagian badan lain.

“Mangsa tidak mengalami kerugian kerana motosikalnya tidak dilarikan,” jelas beliau.



Justeru itu, polis sedang giat memburu dua suspek lelaki itu dan meminta kerjasama orang ramai untuk tampil ke balai polis berdekatan sekiranya mempunyai maklumat.

(Visited 71 times, 75 visits today)

Comments

comments

ep2p-5small