Tiada tempoh khusus untuk lepaskan jawatan Perdana Menteri

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan berundur apabila beliau mendapati keadaan dalam negara sudah licin dan lancar serta sudah boleh maju dari situ.

“Ia mungkin mengambil masa dua tahun, mungkin tiga tahun, saya tidak tahu, tetapi kita sedang mengusahakannya,” kata beliau apabila ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang beliau (Dr Mahathir) perlu berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Bercakap pada sidang akhbar selepas menghadiri dialog meja bulat dengan dewan-dewan perniagaan antarabangsa mengenai tenaga kerja di sini hari ini, Mahathir berkata, beliau akan berpegang pada janjinya mengenai bila masanya beliau akan berundur, apabila beliau ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan gesaan agar beliau bekhidmat sepenggal penuh.

“Kecualilah mereka mengasak saya ke satu sudut dan meletakkan pistol di kepala saya, dan berkata ‘kamu teruskan sehingga habis penggal’… kecuali awak buat macam itu… saya akan letak jawatan. Saya akan tunaikan janji,” katanya berseloroh.

Mohamed Azmin pada Isnin lalu dilaporkan berkata, beliau menyambut baik pendirian gabungan Pas-UMNO untuk menyokong Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga penggal lima tahun kerajaan berakhir.

ep2p-2