Menteri PH mahu Mahathir halau segera Zakir Naik dari Malaysia.

Tiga menteri kerajaan Pakatan Harapan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar segera mengusir Zakir Naik selepas pemimpin agama berkenaan dituduh membuat kenyataan berbaur perkauman.

Tiga menteri tersebut menyatakan desakan mereka dalam mesyuarat kabinet sebelum ini. Mereka adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran, dan Xavier Jayakumar sebagai Menteri Sumber Asli, Tanah dan Air.

“Kami telah menyampaikan pendirian tegas kami, iaitu kami mesti bertindak dan Zakir Naik tidak lagi dibenarkan tinggal di Malaysia,” kata Gobind dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Reuters .

“Perdana menteri telah mendengar kebimbangan kami. Kami menyerahkan kepada beliau untuk mempertimbangkan kedudukan dan membuat keputusan secepat mungkin apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini.”

Isu ini bermula apabila Zakir Naik didakwa membuat kenyataan bahawa kaum Hindu yang merupakan minoriti di Malaysia, mempunyai “hak beratus kali” daripada orang Islam yang juga minoriti di India.

Isu kaum dan agama itu sendiri adalah isu sensitif di Malaysia, di mana umat Islam membentuk majoriti dengan 60 peratus daripada jumlah 32 juta rakyat.

Dalam satu kenyataan kepada media, Kulasegaran menganggap Zakir sengaja membuat ucapan sebegini untuk mewujudkan jurang di negara berbilang kaum seperti Malaysia, semata-mata untuk mendapat sokongan Muslim.

Beliau dan Xavier juga mengeluarkan kenyataan serupa dengan Gobind, yang mengandungi desakan agar Dr Mahathir segera mengusir Zakir Naik, yang telah memegang status pemastautin tetap di Malaysia selama tiga tahun.

Sebelum ini, Dr Mahathir pernah mengatakan bahawa Zakir Naik tidak dapat dikembalikan ke India kerana takut dia akan dibunuh di sana.

“Jika ada negara lain yang mahu (menerima) dia, tidak mengapa,” kata Mahathir seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Bernama.

Dalam perkembangan lain, Zakir Naik dengan nada tegas menolak semua tuduhan oleh menteri-menteri PH terbabit sambil menganggap kenyataannya sering diputar belit oleh media kerajaan PH.

“Pujian saya terhadap kerajaan Malaysia untuk layanan adil terhadap kaum minoriti Hindu kadangkala diputarbelitkan dan disalah tafsir demi kepentingan politik dan mewujudkan pergeseran diantara kaum,” tegas beliau.

ep2p-2