Malaysia kejutkan Socceroos – bazookapenaka

Image result for Malaysia 3 - 0 AustraliaMalaysia mencipta kejutan di Stadium Thanh Long, Vietnam selepas menundukkan Australia 3-0 dalam aksi keempat Kumpulan B, Kejohanan AFF B-18, sebentar tadi.

Dua jaringan daripada penyerang utama, Luqman hakim Shamsuddin, serta satu gol oleh Muhammad Azam Azmi Murad dalam babak pertama membolehkan Malaysia kini mengutip sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan dan satu kalah.

Berbekalkan moral tertinggi susulan kemenangan 3-1 ke atas Singapura dan 3-0 ke atas Kemboja sebelum ini, anak buah Brad Maloney hanya memerlukan 17 minit untuk mengejutkan lawan yang turun selaku pendahulu Kumpulan B.

Biarpun skuad The Socceroos dilihat lebih menguasai aksi dalam hujan lebat di Ho Chi Minh, kebijaksanaan Azam menghidu kealpaan benteng lawan membolehkannya melakukan hantaran jauh buat Luqman dan penjaring terbanyak Kejohanan AFC B-16 2018 itu tenang melepasi dua pertahanan sebelum melambungkan bola melepasi Jackson Lee.

Terkejut dengan gol pembukaan Malaysia, Australia yang diketuai oleh Noah Pagden cuba mengatur gerakan dan hampir menyamakan kedudukan tiga minit kemudian tetapi rembatan Marco Tilio terkena pertahanan skuad negara.

Sebaliknya, Malaysia menambah gol kedua pada minit ke-27, kali ini menerusi pertahanan, Azam, yang tenang menyudahkan bola sepakan sudut dari sebelah kiri oleh Firdaus Khaironnisam menerusi rembatan voli, membuatkan Lee tertewas buat kali kedua.

Perlawanan terhenti seketika pada minit ke-35 selepas insiden perlanggaran melibatkan kapten skuad negara, Firdaus Irman Mohd Fadhil, dan Tilio sehingga menyebabkan penjaga gol PKNP FC itu terbaring.



Percaturan Maloney merehatkan Luqman sewaktu menentang Kemboja ternyata berhasil apabila penggempur itu sekali lagi menggegarkan jaring lawan.

Selepas lenggok badannya memperdayakan Pagden, dia pantas meloloskan diri ke kanan sebelum bola rembatannya yang terkena kaki Lee bergolek masuk ke dalam gawang ketika babak pertama berbaki enam minit.

Australia menggandakan asakan sebaik sahaja permainan bersambung terutamanya menerusi rangkaian Gianluca Iannucci Lachlan Brook serta Jai Lenny King-Byrne tetapi keampuhan benteng skuad negara yang dikepalai oleh Aidil Azuan dan Faris Kamardin.



Pemain gantian, Jarrod Carluccio, berpeluang untuk memastikan pasukannya meraih sekurang-kurangnya satu gol di Thanh Long apabila rembatan derasnya hampir menewaskan Firdaus Irman tetapi penjaga gol itu sempat menguis bola keluar.

Malaysia seharusnya memperoleh kemenangan 4-0 sekiranya Azam menggunakan kesempatan pada minit ke-70 hasil daripada hantaran pendek rakan sepasukan tetapi percubaan kaki kanan pertahanan itu sempat ditepis keluar oleh Lee.

Skuad kendalian Maloney itu kini berkongsi sembilan mata dengan pendahulu, Australia, selepas dibezakan dengan jumlah jaringan dan bakal memburu mata penuh bagi menempah tiket ke separuh akhir dalam aksi seterusnya menentang Thailand, Khamis ini.

(Visited 154 times, 197 visits today)

Comments

comments

ep2p-2