Anwar anggap Zakir Naik bawa masalah pada Malaysia

Ketika ditanya pendiriannya mengenai kontroversi yang membabitkan pendakwah dari India Dr Zakir Naik, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan cara dan tindakan Zakir mencerca kaum tertentu di negara ini.

Jelas beliau, soal mencerca kaum India atau Cina, seperti yang dilakukan penceramah bebas itu, tidak boleh diterima.

Dr Zakir Naik juga sepatutnya berterima kasih kepada Malaysia termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bukannya memberi masalah kepada negara, kata Anwar.

“Kerajaan dahulu bagi dia (status) penduduk tetap. Kemudian Dr Mahathir terus beri dia tinggal sini, sepatutnya dia berterima kasihlah.

“Tetapi tidak begitu. (Sebaliknya) dia bagi masalah kepada kita pula. Kita nak tolong dia, dia bagi masalah pada kita,” katanya.

Anwar sebelum ini memaklumkan, Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat Rabu ini bagi membincangkan tiga isu iaitu berkaitan Zakir, tulisan jawi dan Gabungan Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Cina (Dong Zong).

Katanya, perbincangan itu akan dibuat bagi menyatakan pendirian PKR terhadap isu yang dilihat menjadi kontroversi baru-baru ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium, termasuk di media sosial.

Tambahnya, larangan memberi ceramah di seluruh negara itu terpakai sehingga siasatan polis selesai.

ep2p-2