Waymo Menguji Ciri WiFi Didalam Teksi Swapandu Mereka – Mungkin Akan Digunakan Sebagai Perkhidmatan Tambahan – Amanz

Waymo ialah sebuah syarikat dibawah konglomerat Alphabet yang juga merumahkan syarikat-syarikat lain seperti Google, Loon dan sebagainya, dimana Waymo memfokuskan kepada teknologi kenderaan swapandu.

Syarikat tersebut telah melancarkan perkhidmatan teksi swapandu di beberapa kawasan di Amerika Syarikat, dan terkini, untuk memperbaiki mutu perjalanan para pelanggan mereka, Waymo sedang menguji ciri sambungan WiFi didalam teksi-teksi tersebut untuk digunakan oleh pelanggan.

Ciri ini sedang diuji di Phoenix, Arizona dimana Waymo bukan sahaja dilihat mahu meningkatkan kualiti perjalanan, tetapi juga bilangan pelanggan teksi-teksi swapandu tersebut.

Waymo tidak mengumumkan teknologi apakah yang digunakan untuk menyiarkan rangkaian WiFi tersebut, tetapi buat masa ini ia hanya boleh diuji oleh sebilangan pelanggan yang diberi kebenaran untuk menguji ciri-ciri baru melalui teksi swapandu tersebut. Mereka juga tidak dibenarkan berkata apa-apa kepada pihak awam mengenai ciri terbaru itu.

Ini bukanlah kali pertama Waymo memperkenalkan ciri-ciri mesra pengguna pada teksi-teksi swapandu mereka. Integrasi Google Music dimana pengguna boleh memainkan lagu kegemaran mereka pada pembesar suara teksi tersebut merupakan satu ciri yang agak popular, manakala untuk keluarga dengan anak kecil, van-van swapandu Waymo kini dilengkapi dengan tempat duduk khas untuk keselamatan tambahan.

ep2p-5small