Polis sahkan kereta pegawai Khalid Samad tak masuk laluan kecemasan

POLIS mengesahkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 253.3, Lebuhraya PLUS, arah utara, berhampiran Pedas, dekat sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul berkata, kenderaan itu dipandu lelaki 28 tahun yang juga pemandu gantian kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Katanya, SUV terbabit membawa seorang penumpang lelaki berusia 38 yang berkhidmat sebagai pengiring rapat kepada menteri berkenaan.

“Dalam kejadian 6.30 petang, SUV terbabit bergerak dari arah Rembau menuju ke Kuala Lumpur.

“Ketika kejadian aliran trafik di lebuh raya berkenaan sesak dan bergerak perlahan. Setibanya di lokasi, kenderaan di hadapan yang tidak dikenal pasti menekan brek mengejut menyebabkan SUV itu mengelak lalu memasuki lorong kecemasan.

“Dalam masa sama datang sebuah motosikal Yamaha Y15Z dari arah belakang lalu merempuh pintu kiri dan cermin sisi SUV berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal, Razuan A Rahman, 31 tercampak di jalan dan patah tangan kiri,” katanya menjelaskan kejadian yang tular di laman sosial, malam tadi.

Menurut Ibrahim, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar KPJ Kajang, Selangor manakala pemandu dan penumpang SUV tidak cedera.

Katanya, pemandu SUV terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dengan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ep2p-2