Pelik! PH Tuduh Saya Terima Wang Haram, Kemudian Mahu Kenakan Cukai Pula – Najib

PETALING JAYA – Najib Razak hari ini mempersoalkan kerajaan Pakatan Harapan mengapa dana asing yang diterimanya dan didakwa wang haram dikenakan cukai.

“Lagi menakjubkan ialah kerajaan PH telah dakwa saya di mahkamah bahawa dana-dana yang saya terima itu adalah wang haram.

“Tapi LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) bawah kerajaan PH pula anggap ini bukan wang haram, tetapi ‘pendapatan sah’ yang perlu dicukai pula.

“Takkan wang yang haram pun kerajaan PH mahu cukai?” tulisnya di Facebook hari ini.

Beliau merujuk saman difailkan kerajaan melalui LHDN kerana beliau tidak membayar denda cukai sebanyak RM1.69 bilion dari 2011 hingga 2017.

The Edge Markets pada 1 April lalu melaporkan siasatan LHDN mendapati Najib belum mengisytiharkan pendapatan RM4 bilion yang termasuk RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya yang didakwa dana 1MDB.

Hari ini, Najib berkata, PH kini berkuasa dan mempunyai hak untuk mengambil sebarang tindakan melalui mahkamah, walaupun kes itu tidak masuk akal.

“Apa yang kita boleh buat? Kita hanya boleh mengupah peguam lagi dan menghabiskan masa bertahun-tahun untuk melawan dan menang di mahkamah,” katanya sambil menambah rakyat akan menilai setiap tindakan PH.

Katanya, beliau tidak pernah mengelak daripada membayar cukai dan buktinya ialah afidavit kerajaan membuktikan beliau sudah membayar cukai kepada LHDN setiap tahun tanpa gagal.

Bekas perdana menteri itu berkata, sebarang derma atau wang dari sumber asing tidak sepatutnya dikenakan cukai.

“Wang yang diterima sebagai derma sebenarnya tak dikenakan cukai. Tapi PH masih mahu denda saya.

“Wang dari sumber asing juga tidak sepatutnya dicukai. Tapi PH masih mahu denda saya.

“Dana politik tak boleh dicukai. Tapi PH tetap mahu denda.”

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pegawai bank dalam perbicaraan kes pengubahan wang dan pecah amanahnya mengesahkan kepada mahkamah, RM2.6 bilion sudah dikembalikan kepada penderma 4 bulan selepas diterimanya.

“Wang diterima dari luar negara dan dihantar balik 4 bulan kemudian dalam tahun sama pun dikatakan oleh kerajaan PH adalah pendapatan.”

Pada akhir April lalu, Pengurus Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi dilaporkan berkata, rekod dari 2011 hingga 2013 menunjukkan kemasukan RM2.6 bilion ke akaun Najib yang dibuka pada 13 Januari 2011.

Katanya, rekod menunjukkan wang itu adalah derma daripada Faisal bin Turki, kerabat diraja Arab Saudi dan juga daripada Blackstone Asia Real Estate Partners.

Beliau berkata, RM2.034 bilion dihantar keluar negara pada 23 Ogos 2014.

Najib berkata, wang yang disumbangkannya untuk tujuan kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepatutnya ditolak cukai.

“Saya sumbang dan buat kerja kebajikan dan CSR, saya pula didenda.”

Beliau memberi contoh syarikat tekstil, Jakel yang mengesahkan ia menerima pesanan daripadanya untuk membekalkan kain dan jubah bagi program amal yang diagihkan kepada imam, tahfiz dan 7,000 masjid di seluruh negara serta mangsa banjir antara 2011 dan 2014.

“Sejak PRU14, sudah terkeluar banyak bukti di mahkamah dan dari penjelasan penerima dana bahawa semua dana yang saya terima itu telah digunakan untuk projek kebajikan, sama ada terus kepada rakyat atau program kebajikan melalui NGO dan parti politik.” – FMT

ep2p-5small