Kesetiaan Ada Batas, Saya Tahu Siapa Dalang Sebar Video – Azmin Ali

SHAH ALAM – Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersedia berdepan dengan individu yang pernah dikenalinya dalam perjuangannya selama ini.

Tanpa menyatakan siapa individu berkenaan, Mohamed Azmin berkata, namun, kesetiaannya ada batasan.

“Saya setia kepada kepada kebenaran dan keadilan dan saya akan tetapkan perjuangkan keadilan dan kebenaran. Bukan untuk keluarga saya, tapi saya mahu untuk rakyat Malaysia, umat Islam dan Melayu dapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya ketika berucap di depan penyokongnya pada program Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran Sempena Kemenangan Menolak Fitnah Terhadap Mohamad Azmin di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Naib Presiden Tian Chua dan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, beliau bersedia menerima semua ujian itu yang bukan baharu baginya dan tidak pernah surut sejak 1998, walaupun harapan rakyat Malaysia, termasuk dirinya supaya budaya itu tidak lagi diulangi selepas Mei 2018.

Namun, katanya, berikutan kerakusan dan nafsu serakah sesetengah pihak yang sanggup membunuh kerjaya politik seseorang, beliau diaibkan sekali lagi sejak lima minggu lalu.

“Saya tidak akan berganjak. Walaupun saya dipijak, dihina, diaibkan sebegitu lama, Insya-Allah dengan doa, dengan dokongan dan sokongan rakyat Malaysia dan umat Malaysia, saya akan berdiri tegak untuk membina sebuah Malaysia yang baharu.

“Lima minggu saya diaibkan sekali lagi. Lima minggu saya difitnah, isteri saya, anak-anak saya, keluarga saya, cucu-cucu saya, kakak-kakak saya, abang saya, terpaksa menempuh fitnah dan gelombang ini dengan penuh kesabaran dan ketenangan.

“Walaupun saya tidak mengheret rakyat bersama-sama, tetapi saya bersyukur, melalui maklum balas yang saya terima, rakyat mendoakan dengan cara mereka tersendiri,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, beliau juga bersyukur apabila Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, mengesahkan bahawa beliau tidak bersalah dan bukannya pelaku dalam klip video lucah yang dikaitkan dengannya sebelum ini.

Katanya, sejak awal lagi beliau yakin beliau tidak bersalah, dan itu permainan politik dalaman.

“Malahan, Ketua Polis Negara sendiri sahkan ada tangan ghaib yang nilainya ratusan ribu dan jutaan ringgit untuk menjatuhkan saya. Ayuh, saya tidak mahu mendiamkan diri kerana kita tidak perlu manusia seperti ini untuk memimpin kita,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, beliau tahu siapa dalang di sebalik video itu, namun tidak mendedahkan orangnya. – BH

ep2p-5small