Dah silap roboh, lari pula – bazookapenaka

“SIAPA tidak tertekan apabila rumah didiami musnah akibat kecuaian pihak tidak bertanggungjawab yang datang dan merobohkannya, kelmarin,” kata Ainon Musa, 63, hari ini.

Menurut ibu tunggal itu, dia menetap di Kampung Bakar Batu, Perling, Johor Bharu, selama 25 tahun dan terkejut apabila pihak kontraktor diupah pemaju kawasan berkenaan merobohkan rumahnya tanpa alasan munasabah.

Menurutnya, kejadian berlaku disebabkan dia tidak tersenarai sebagai penduduk yang bersetuju menerima pampasan dan tidak pernah menerima ganti rugi sebaliknya masih dalam proses menuntut pembelaan di mahkamah.

Katanya, sementara menunggu proses tuntutan pembelaan di mahkamah dan demi keselesaannya, dia melakukan kerja baik pulih asas bagi mengatasi kerosakan rumah dan ketika ini, tinggal di rumah anaknya di Kampung Pasir.

“Saya bukan mengosongkan rumah tetapi tinggalkan rumah sementara dibaik pulih, tidak sangka kontraktor menganggap rumah saya tidak berpenghuni dan merobohkannya.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada tukang rumah menyatakan rumah saya sudah ranap,” kata ibu kepada tujuh anak itu.

Ainon ditemui selepas mengadu masalah dihadapinya kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Cawangan Perling, Norman Abdul Hamid.

Ainon berkata, rumahnya adalah rumah pertama dan satu-satunya rumah dirobohkan dalam kejadian, kelmarin, kerana apabila menyedari melakukan kesilapan, kontraktor terbabit tergesa-gesa meninggalkan lokasi tanpa memohon maaf.

Katanya, dia keliru dengan nasib malang menimpanya terutama bakal meraikan Aidiladha tidak lama lagi.

“Hanya Allah SWT saja faham perasaan saya dan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap kontraktor dan pemaju bagi menuntut pembelaan.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Perling, kelmarin, dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci bagi membela nasib rakyat biasa seperti saya ini,” katanya.

Sementara itu, Norman berkata, sebahagian penduduk di kawasan berkenaan dalam proses menuntut pembelaan di mahkamah kerana mereka mahu dipindahkan ke penempatan sesuai dan bukannya rumah sewa beli.

Menurutnya, perkara berkenaan dalam perhatian kerajaan negeri dan pemaju kawasan berkenaan.

Katanya, pihaknya tidak menghalang pembangunan namun berharap peneroka asal kampung itu menerima pembelaan sesuai dengan pengorbanan mereka selama ini.



“Tindakan pemaju merobohkan rumah ibu tunggal yang tidak menerima sebarang pampasan atau ganti rugi adalah tidak adil dan menyalahi undang-undang.

“Sehingga kini, tiada sebarang notis diberikan kepada ibu tunggal berkenaan dan kami berharap wanita berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kami berharap kekeliruan berlaku dapat diselesaikan segera dan sesuai oleh pemaju dan pihak kontraktor,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir ketika dihubungi berkata, terdapat dua jenis kawasan setinggan iaitu setinggan di tanah kerajaan dan setinggan di tanah berhak pemilik.

“Sekiranya terdapat perintah mahkamah, semua pihak seharusnya akur namun sekiranya ia tanah berhak milik dan masih belum terdapat sebarang perintah mahkamah, rundingan masih boleh dilakukan.

“Penduduk boleh merujuk kepada wakil rakyat kawasan berkenaan atau pejabat daerah sekiranya mahu melakukan rundingan bersama pemilik tanah berhak milik.

“Apa pun, yang penting adalah memastikan penduduk mempunyai tempat tinggal sesuai sebelum diminta mengosongkan kawasan setinggan,” katanya.


(Visited 130 times, 130 visits today)

Comments

comments

ep2p-2