TAN Cheng Hoe tiada alasan dalam memastikan tiket ke Piala Asia China 2023 menjadi realiti apabila tuah undian memihak pasukan negara selepas diundi berdepan tiga pasukan Asia Tenggara pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula September ini.

Pada majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia di Bukit Jalil hari ini, skuad kendaliannya diletakkan dalam Kumpulan G bersama juara Piala AFF tahun lalu Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Manakala satu lagi pasukan yang pernah mengaibkan Malaysia 10-0 ketika kempen sama empat tahun lalu, Emiriah Arab Bersatu tampil melengkapkan saingan kumpulan itu.

Menurut Cheng Hoe, undian yang menghimpunkan pasukan serantau dilihat seperti mini Piala AFF dan peluang itu harus digunakan sebaik mungkin oleh anak buahnya.


UNDIAN penuh Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022-Piala Asia China 2023. — FOTO the-afc.com

“Memang saya rasa terkejut dan tak jangka diundi dalam Kumpulan G yang mana ia macam mini Piala AFF dengan masing-masing tahu kekuatan lawan.

“Ini peluang terbaik untuk layak ke Piala Asia dengan cuba merebut kedudukan empat pasukan naib juara terbaik yang akan layak ke pusingan ketiga Piala Dunia dan pusingan akhir Piala Asia secara automatik.

“Namun pemain kena bersedia dan cuba meraih seberapa banyak mata dan jaringan supaya matlamat untuk layak ke Piala Asia tercapai,” katanya.

Kali terakhir Harimau Malaya beraksi pada Piala Asia adalah pada 2007 yang mana Malaysia ketika itu menjadi tuan rumah bersama dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia.


Comments

comments