Image result for sarri juventusLONDON – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri dilaporkan membuat permintaan untuk meninggalkan Stamford Bridge selepas dia telah bersetuju menyertai Juventus pada musim depan.

Pengendali kelahiran Itali itu telah menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama The Blues musim lalu, namun masa depannya sering menjadi pertikaian selepas gagal memimpin pasukan itu dengan baik sepanjang saingan Liga Perdana England (EPL) musim ini meskipun berjaya menjulang kejuaraan Liga Europa Khamis lalu.


Sarri sebelum ini menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan Chelsea sambil menegaskan bahawa dia mahu kekal bersama kelab London tersebut sekiranya khidmatnya masih diperlukan.

Bagaimanapun, keputusan mengejut Juventus yang menamatkan kontrak jurulatih Massimiliano Allegri telah mengubah fikiran Sarri yang difahamkan telah bersetuju secara dasarnya untuk menyertai juara Serie A berkenaan.

Wakil Sarri juga telah berjumpa dengan pihak pengurusan tertinggi Chelsea Jumaat lalu dan membuat pemintaan terhadap mereka supaya membenarkan pengendali berusia 60 tahun itu berhijrah ke Itali.


Pada masa sama, Chelsea juga dikatakan bersedia untuk melepaskan Sarri dan menjadikan bekas pemainnya, Frank Lampard sebagai pengganti untuk mengisi kekosongan pengurus pasukan.

Dia dilaporkan bakal menerima gaji sekitar £6m (RM31.78 juta) di Juventus manakala Chelsea pula bakal membuat keputusan akhir dalam masa terdekat.

Kejayaan pada final Liga Europa dengan menewaskan Arsenal Khamis lalu merupakan trofi pertama Sarri di EPL. Dia berjaya membawa The Blues menamatkan saingan liga musim ini di tangga ketiga dan tewas kepada Manchester City menerusi penalti dalam Piala Liga England. – Agensi.