Pakar ekonomi PH minta rakyat tabah harungi ekonomi sukar

Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, rakyat Malaysia perlu bersedia mengharungi tempoh sukar akan datang memandangkan ekonomi kini berdepan isu sebenar di tengah-tengah situasi luaran yang tidak dapat diselesaikan, malah semakin bertambah buruk hampir setiap hari.

“Perang ekonomi bukan hanya mengenai perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, kerana kita tidak dapat menghindarinya kerana ia juga menjadi sebahagian daripada ekonomi kita.

“Kita juga akan tersepit dalam keadaan tersebut memandangkan China merupakan rakan dagang utama kita selain terdapat banyak pelaburan Malaysia dengan China menerusi usaha sama seperti Proton dan Geely,” katanya kepada pemberita di luar Konvensyen Ekonomi Malaysia 2019.

Beliau berkata penting untuk segenap pihak di negara ini mengenal pasti masalah berkenaan dan menguruskan isu itu secara bersama sebagai sebuah negara dengan rakyatnya bersatu padu sekali gus menolak perbezaan politik.

Negara perlu mula memikirkan mengenai pelaburan domestik yang akan menjadi penyelamat ekonomi ini berbanding menumpukan usaha ke atas pelaburan asing, katanya.

Jomo berkata kelembapan ekonomi telah sedia berlaku dan menjejaskan harga komoditi Malaysia malah situasi itu tidak akan pulih serta-merta.

“Malaysia bukan sebuah negara pengeluar minyak dengan kos rendah seperti Arab Saudi, malah Arab Saudi juga menyemak semula dasar mereka disebabkan iklim ekonomi semasa,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ekonomi Malaysia memerlukan rangsangan baharu, beliau berkata negara telah melaksanakannya sejak 20 tahun lepas ketika krisis kewangan Asia melalui banyak pinjaman.

Beliau menjelaskan banyak perkara yang tidak sepatutnya dilaksanakan telah dibuat atas nama rangsangan ekonomi.
Jomo berkata Malaysia kini perlu mempertingkat amalan kebertanggungjawaban dan ketelusan.

Mengenai agenda pembaharuan negara, beliau berkata usaha pembaharuan bukan sesuatu yang mudah dan senarai harapan pula sangat panjang, justeru itu kerajaan perlu memberi keutamaan kepada isu yang mendesak berbanding aspek lain seperti perkara yang Bank Dunia mahu Malaysia laksanakan.

Menangani isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan hutang negara mungkin menjadi perkara paling penting untuk diselesaikan buat masa ini, katanya.

“Saya tidak boleh mengatakan apa yang dilaksanakan kerajaan adalah mengagumkan kerana banyak lagi kerja yang perlu dijalankan namun, apa yang mereka cuba realisasikan juga melibatkan kepentingan yang kuat, selain wujud pihak yang akan menentang pembaharuan, oleh itu, ia bukan mudah,” katanya menerusi portal Bernama.

ep2p-5small