Lelaki Bertopi Merah Bersama Haziq Jadi Perbualan Ramai

KUALA LUMPUR – Susulan penangkapan Haziq Abdullah Abdul Aziz dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, kemunculan lelaki berbaju merah dan bertopi menjadi perbualan hangat dalam kalangan ahli PKR.

Persoalan berkenaan timbul apabila ahli PKR yang juga seorang aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard memuatnaik gambar Haziq dibawa keluar dari balai polis dengan menaiki sebuah kereta bercermin gelap.

“Konspirasi terbongkar apabila Haziq dibebaskan, lihat gambar lelaki yang memakai baju merah dan bertopi itu. Dia memang aktif dalam PKR jadi motif penularan video seks itu kini semakin jelas,” katanya menerusi akaun Facebook dan Twitternya.

Menurut laporan The Star Online, identiti lelaki berkenaan akhirnya didedahkan beberapa ahli PKR iaitu Ahmad Danish Hairuddin apabila hubungannya dengan Haziq menjadi persoalan dalam kumpulan WhatsApp mereka.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khalid Mohd. Ismath mempertahankan Ahmad Danish menerusi ciapan dalam akaun Twitternya.

“Ahmad Danish adalah rakan aktivis saya ketika di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Tetapi dia di Alor Gajah dan saya pula di Shah Alam.

“Dia memang kenal Haziq sejak zaman belajar lagi. Lagipun Haziq hilang ramai kawan selepas video itu tular. Apa salahnya kalau kawan dia sendiri menemaninya untuk beri sokongan?” soal Khalid.

Sementara itu, seorang lagi ahli PKR yang dikenali sebagai Lee Slim Shady turut menjelaskan bahawa Ahmad Danish pernah bertanding Ketua Pemuda PKR cabang Kota Raja tetapi tewas.

Mengulas penularan video seks berkenaan Lee berkata terlalu banyak teori konspirasi mengenai siapa lagi yang terlibat. – UTUSAN

ep2p-5small