Latheefa Koya Ketuai SPRM Satu Lantikan Politik, Tidak Tepati Janji PH – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu memberi penjelasan sewajarnya berhubung keputusan kerajaan melantik Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Menurut The Star Online yang memetik Bernama, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penjelasan mengenai perkara berkenaan penting apatah lagi pelantikan Latheefa bukan sahaja didakwa tidak bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Akta SPRM, malah tidak dimaklumkan kepada barisan Kabinet.

Anwar turut mengatakan beliau hanya mengetahuinya melalui pengumuman yang dibuat dan dilakukan sepenuhnya oleh Dr. Mahathir.

“Sudah tentu penjelasan sewajarnya diperlukan kerana perkara ini adalah apa yang kita janjikan tetapi mestilah melalui forum teratur seperti dalam Kabinet atau Majlis Kepemimpinan PH jika kita mahukan penjelasan sebenar.

“(Pelantikan) itu dilihat sebagai lantikan politik dan janji manifesto tidak dilaksanakan. Saya rasa penting rakyat mendapat penjelasan mengapa manifesto tidak dihormati dan diberi perhatian walaupun saya rasa Latheefa memenuhi segala kelayakan bagi jawatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Perdana di Masjid Kubang Semang, Permatang Pauh, semalam.

Latheefa dilantik mengetuai SPRM berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang memendekkan tempoh kontrak perkhidmatannya.

Pelantikan Latheefa yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM didakwa tidak menepati manifesto PH yang melarang pelantikan dalam kalangan ahli politik.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memberitahu, beliau telah bersetuju untuk memberi ruang dan masa kepada Dr. Mahathir bagi memberi penjelasan dalam platform yang betul.

“Apa-apa pun, tanggungjawab kita adalah untuk memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan efektif dan kita komited untuk menyokong kerajaan di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir.

“Kita juga akan terus memastikan SPRM kekal bebas dan sesiapa yang diberi tanggungjawab perlu profesional serta tidak terpengaruh dengan apa jua pertalian politik. Kebimbangan ini telah pun disuarakan,” ujarnya.

Anwar juga memaklumkan peletakan jawatan Latheefa sebagai ahli PKR telah diterima parti dan tidak akan menimbulkan sebarang isu. – UTUSAN

ep2p-2